Krisis AS-China boleh sekat aliran masuk dana asing

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Aliran masuk dana asing ke dalam pasaran modal baru-baru ini boleh terjejas bagi tempoh minggu-minggu akan datang berikutan kebimbangan yang muncul semula terhadap krisis perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata penganalisis.


Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank, Adam Mohamed Rahim berkata dana asing yang merupakan pembeli bersih, setakat Khamis minggu ini, menyuntik masuk RM331.9 juta berbanding aliran keluar bersih hampir RM500 juta yang direkodkan minggu lepas, didorong perkembangan positif di peringkat tempatan dan luar negara.


“Aliran masuk RM343.5 juta pada Selasa sebahagiannya bukan hanya disokong aktiviti memperelok akaun malah ia turut bertepatan dengan lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke Malaysia yang membuka ruang bagi hubungan dua hala lebih baik antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama.


Beliau berkata, trend aliran masuk bersih berterusan pada Rabu dengan RM151.3 juta susulan laporan berita bahawa rundingan perdagangan antara Washington dan Beijing akan bermula semula di samping pemulihan Wall Street yang mencetuskan minat belian.


Bagaimanapun, beliau berkata, ancaman Presiden AS Donald Trump untuk menaikkan tarif kepada 25 peratus ke atas import China bernilai US$200 bilion daripada kadar semasa 10 peratus, telah menjejaskan sentimen di Bursa Malaysia, sekali gus menyaksikan aliran keluar bersih RM123.7 juta pada Khamis dan menyebabkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.57 peratus.


“Krisis perdagangan dan aliran ekuiti akan terus mempengaruhi pelabur minggu depan memandangkan Trump bersungguh-sungguh mahukan China mengubah dasar perdagangannya,” katanya, dengan menambah, aliran keluar dana asing akan tetap bergantung terutama kepada perkembangan luaran.


Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dari sudut pandang teknikal, FBM KLCI telah mencapai keadaan terlebih beli.


“Oleh itu, kecenderungan meningkat seterusnya adalah agak terhad pada jangka terdekat,” katanya, dengan menambah, dana asing boleh mengalihkan tumpuan mereka kepada negara maju selepas Bank of England menaikkan kadar dasar mereka sebanyak 25 mata asas kepada 0.75 peratus manakala European Central Bank memberi gambaran untuk menghentikan Program Pembelian Aset pada akhir 2018, sekali gus membuka peluang untuk kenaikan kadar dasar.


“Mungkin wujud peralihan dana asing kepada negara maju secara bersela yang akan memberi kesan ketara ke atas aliran modal dan ringgit,” katanya.


Pensyarah Kanan dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata aliran keluar terkumpul 2018, setakat ini yang dicatatkan oleh negara, mencecah paras RM9 bilion memandangkan Malaysia terus mengalami beberapa bentuk penjualan asing bersih di Bursa Malaysia sejak Mei.


Beliau berkata, sentimen masih lagi tidak menentu, bergantung kepada berita yang dilaporkan berkaitan perang tarif AS-China dan penggantungan tarif antara AS-Kesatuan Eropah.


Mengenai mata wang tempatan, beliau berkata, tukaran ringgit-dolar AS kekal mengalami tekanan disebabkan ketegangan perdagangan antara AS dan China yang secara tidak langsung akan menjejaskan syarikat Malaysia yang mempunyai dedahan langsung kepada China.


Beliau menjangkakan ringgit stabil berbanding dolar AS pada RM4.08 menjelang tempoh suku ini dan tidak melebihi RM4.20 tahun ini.


“Kita belum menyaksikan kesan sebenar namun Indeks Pengeluar Pembelian Global (IPP) bagi pengilang susut daripada 54.4 pada Januari 2018 kepada 52.7 mata pada Julai 2018,” katanya.


Bagi peringkat lebih tinggi, peniagaan menjadi sukar berikutan perkembangan ini terutama dalam konteks globalisasi kerana setiap perniagaan dan rantaian nilai tersepadu di seluruh dunia.


“Prospek kadar faedah lebih tinggi di negara maju ditambah dengan tarif pada asasnya akan meningkatkan kos perniagaan serta menjejaskan keberuntungan dan kecekapan,” katanya.


Berhubung peletakan jawatan dan pelantikan pengarah baharu Khazanah, ia akan membolehkan input dan pautan keperluan ekonomi negara kepada sektor yang menjadi dedahan Khazanah.


“Ini juga akan memastikan tadbir urus yang betul terhadap pelaburan yang dilaksanakan dana pelaburan kerajaan itu,” katanya.


Susulan peletakan jawatan beramai-ramai pengarah Khazanah pada 26 Julai lepas, Pejabat Perdana Menteri telah mengumumkan barisan lembaga pengarah baharu.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tugas sebagai Pengerusi, sementara Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilantik sebagai Pengarah.


Turut dilantik ialah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh serta bekas Pengarah Shangri-La Hotels (Malaysia) Bhd dan bekas Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Goh Ching Yin.


Pada Jumaat, Khazanah mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa 20 Ogos.


Sementara itu, di Parlimen Azmin mendedahkan bahawa Khazanah mengalami kerugian sebanyak RM80 juta dalam pelaburan runcit pakaian dalam wanita.   


Pendedahan itu bagaimanapun, mendapat kritikan anggota Parlimen Rembau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang menyatakan kenyataan itu dibuat bertujuan menjejaskan sumbangan bekas Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, kepada syarikat pelaburan strategik negara tersebut.


Khairy berkata Azman memberikan sumbangan besar kepada Khazanah dan menjadikan nilai bersih dana pelaburan negara itu hampir tiga kali ganda kepada RM115.6 bilion setakat Disember 2017 daripada RM33.3 bilion pada 2004.


Sebelum ini, Khazanah juga dikritik oleh kerajaan atas kehilangan lebih RM3 bilion daripada pelaburan dalam pegangan bukan strategik di Swiss Bank UBS.


Azman, dalam surat perpisahan kepada “rakan sekerja dan kawan-kawan” memberi penjelasan mengenai pelaburan itu dengan menyatakan bahawa kerugian sebenar adalah RM1.7 bilion memandangkan 53.5 peratus daripada pelaburan itu diperolehi semula.   


Beliau mengakui kerugian itu adalah besar, dan ia tidak boleh dielakkan dalam operasi pelaburan yang tertakluk kepada risiko pelaburan yang perlu ditanggung Khazanah, di peringkat global.


Semakan dalaman oleh anggota lembaga pengarah bebas dengan input daripada KPMG mendapati kes itu bebas daripada sebarang salah laku dan proses pelaburan serta kelulusan oleh lembaga pengarah telah dipatuhi.


Azman menyenaraikan beberapa pencapaiannya sepanjang menerajui Khazanah iaitu termasuk program transformasi syarikat berkaitan kerajaan, pembangunan Iskandar Malaysia, pengembangan ke luar negara yang menguntungkan terutama ke China, India, Turki dan Asia Barat, begitu juga transformasi di banyak syarikat utama yang menjadi peneraju serantau seperti CIMB, Axiata dan IHH.


Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi Petronas menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang melengkapkan tempoh tiga penggalnya pada 30 Jun.


Kerajaan bagaimanapun, mengekalkan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat minyak negara itu. –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]