Penduduk teruja Najib datang berkunjung

in Edisi by


KUANTAN – Penduduk kampung tradisional sekitar Beserah di sini, teruja dengan kehadiran mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyantuni mereka yang ratanya golongan nelayan.


Ketua Kampung Pantai Beserah, Aziz Mohamad, 70, berkata, kedatangan beliau yang julung kalinya ke kampung tersebut hari ini memberikan penghormatan dan peluang kepada penduduk menyampaikan sokongan.


Menurutnya, kedatangan beliau memberi sokongan kepada golongan nelayan serta menegaskan kepada Kerajaan PH agar meneruskan insentif sara hidup bulanan, membuktikan beliau mengasihi rakyat.


“Saya mewakili penduduk Kampung Pantai rasa berbesar hati kerana beliau seorang bekas perdana menteri ambil berat soal rakyat.


“Selama ini pun perhatian beliau terhadap rakyat nelayan tak pernah dikecualikan,” katanya.


Ketua Kampung Batu Hitam, Mohd Amdan Sulaiman, 55, berkata, penduduk mendoakan kesejah­teraan Najib walau di mana pun beliau berada dan yakin selaku bekas pemimpin negara, beliau akan terus membela nasib rakyat.


“Kami yakin beliau sangat mengambil berat soal kebajikan rakyat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Kampung Darat, Hassan Setapa, 69, mengibaratkan kedatangan bekas Perdana Menteri itu macam mimpi.


“Ini pertama kali beliau datang. Tak sangka, macam mimpilah.


“Saya berdoa supaya beliau diberi tempat lebih tinggi lagi di masa akan datang kerana sepanjang menjadi PM beliau sangat mengutamakan rakyat,” katanya.


Ketua Kampung Baharu Beserah, Omar Mahmud, 68, pula menyampaikan sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan itu untuk terus cekal menghadapi ujian pasca kejatuhan BN.


“Harap kita di peringkat kampung akan hidupkan kembali semangat kemasyarakatan dan persatuan supaya terus menikmati apa yang kita kecapi,” katanya.


Sementara itu, Beliwanis, Hartini Che Zakaria, 37, juga menyampaikan hasrat agar elaun sara hidup RM300 sebulan diteruskan.


Katanya walaupun jumlah itu kedengaran kecil, namun amat bermakna kepada rakyat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]