Perangkap Bersatu tidak menjadi

in Politik by


KOTA BHARU – Umno Kelantan menyifatkan desas desus bahawa ada wakil rakyat BN negeri ini akan sertai Bersatu sebagai perangkap ciptaan pihak lawan yang tidak menjadi.


Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata,  perkara tersebut sengaja digembar-gemburkan supaya pimpinan parti sangsi terhadap kesetiaan individu yang dikatakan akan berhijrah itu.


Menurutnya, dengan situasi sebegini memungkinkan Umno menjadi cepat melatah dan melakukan tohmahan yang dengan sendirinya sesiapapun  rasa kecewa dan akam benar-benar bersama dengan Bersatu.


“Itulah perangkap yang mereka hendak buat.Tetapi mereka lupa bahawasanya setia kawan yang ada dalam Umno dan BN Kelantan ini masih kekal, masih kuat dan Adun-Adun  kita masih setia berpegang kepada amanah.


“Mereka bertanding (PRU14) atas tiket BN dan sampai habis penggal mereka akan kekal dengan kita. Dengan kata lain saya boleh memberi jaminan setakat hari ini tidak akan ada seorang Adun pun dalam kalangan kita melompat parti kerajaan termasuklah Ahli Parlimen. Tidak,” katanya kepada media.


Beliau ditemui pada Forum Pasca Dun: Kelantan Selepas PRU14 di Sutera Inn di sini.


Sebelum ini, wujud khabar angin mengatakan seorang wakil rakyat BN akan menyertai Bersatu, bagaimanapun individu dikaitkan itu sudah menafikan perkara tersebut.


Dalam pada itu, Ahmad Jazlan juga mendedahkan dalam senario politik semasa ini sebenarnya pihak Bersatu yang sedang merisik wakil-wakil rakyat BN untuk menyertai perjuangan mereka.


“Memang betul dia (parti lawan) hubungi setiap wakil rakyat BN untuk tarik bersama mereka.Terutamanya Bersatu. Mereka adalah sebuah parti yang kecil dan mereka menahkodai sebuah kapal yang besar tetapi pengikutnya sedikit,” katanya.


Dalam perkembangan lain mengulas mengenai kemenangan PH di PRK Sungai Kandis, Ahmad Jazlan berkata,  ia merupakan satu kejayaan untuk BN yang boleh diterjemahkan sebagai sokongan kepada kepada parti pembangkang itu.


“Kita berjaya kurangkan majoriti. Bagi saya ini adalah satu kejayaan kepada BN dengan kata lain rakyat sudah sedar bahawa apa yang dijanjikan oleh PH sebelum ini adalah pembohongan,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]