Perbincangan bersama negara pengeluar getah

in Nasional by


MACHANG – Kerajaan akan mengadakan perbincangan bersama negara-negara pengeluar getah, Thailand dan Indonesia  bagi melaksanakan beberapa skim dalam usaha menangani isu lambakan getah di pasaran dunia.


Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin berkata,  Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) antara kaedah yang pernah dilaksanakan  ketiga-tiga negara  yang mana mengehadkan eksport getah dengan  bermatlamat meningkatkan harga getah asli.


Katanya, lebihan bekalan getah asli di pasaran antarabangsa memberi kesan langsung ke atas pendapatan pekebun kecil apabila menyumbang kepada kejatuhan harga getah.


Tambahnya, selain menangani lebihan bekalan getah asli di peringkat antarabangsa,  kerajaan juga akan menggalakkan  penggunaan  domestik dengan menggunakan komoditi berkenaan termasuk membina jalan getah (rubberised road).


“Kami yakin berdasarkan pelaksanaan bersama langkah-langkah ini, harga getah akan pulih dan baik untuk semua pekebun kecil serta pihak berkepentingan dalam industri.


“Dalam masa yang sama,  infrastruktur  penghasilan dan pusat pengumpulan susu getah akan ditingkatkan di seluruh negara  bagi menggalakkan pekebun kecil  mengusahakannya secara meluas ,sesuai dengan permintaannya yang tinggi di pasaran,” katanya kepada  pemberita selepas  Majlis Ramah Mesra Bersama Pekebun kecil di Kampung Pek, di sini, petang, semalam.


Hadir sama pada majlis tersebut  Pengarah Bahagian Ekonomi & Pasaran Getah (BEPG), Azhan Haris Ajidan dan  Pengerusi Pertubuhan Usahawan  Getah Bumiputera  Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab Rahman.


Pada pertemuan tersebut, Shamsul Iskandar mendengar keluh kesah penduduk dari kalangan pekebun kecil mengenai kesusahan hidup mereka akibat kejatuhan harga getah.


Tambah Shamsul Iskandar,  dalam masa yang sama, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada pekebun kecil dikekalkan bagi meringankan beban mereka berikutan masalah kejatuhan harga getah itu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]