Pesawat Perang Dunia Kedua terhempas, 20 maut

in Global by


BERN – SWITZERLAND. Sekurang-kurangnya 20 terbunuh dalam nahas di Switzerland melibatkan pesawat dihasilkan Jerman kira-kira 80 tahun lalu.


Pesawat Junker JU52 HB-HOT dibina pada 1939 yang menjadi barangan koleksi itu terhempas di kawasan pergunungan Piz Segnas, petang semalam.


Ketika kejadian, pesawat yang membawa 17 penumpang dan tiga kru dalam perjalanan dari Ticino di selatan Switzerland menuju ke pangkalan tentera Duebendorf berhampiran bandar Zurich sebelum ia terhempas di barat Gunung Piz Segnas pada ketinggian 2,450 meter.


Sumber polis memaklumkan tiga daripada mangsa penumpang adalah sebuah keluarga dari Austria.  


Sementara itu, saksi memaklumkan pesawat terbabit berpusing 180 darjah sebelum menjunam dan terhempas.


Siasatan awal mendapati nahas itu bukan berpunca daripada letupan dan sebanyak lima helikopter dihantar untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian.


Dalam insiden berasingan, sebuah pesawat pelancong membawa pasangan suami isteri dan dua kanak-kanak dilaporkan terhempas di kawasan hutan di tengah Switzerland yang mengorbankan kesemua penumpang. – Press TV


Source: SH Global

[featured-video-plus]