Status OKU tak halang kejayaan

in Edisi Utara by


KUALA KETIL – Minat dalam berniaga atas talian tidak menghalang pelajar OKU yang mengidap cerebral palsy menamatkan pengajian di Kolej Komuniti Kulim.


Nur Akma Amali Rahman, 20, menerima Sijil Pengoperasian Perniagaan dalam Majlis Konvokesyen Kedah, Perlis dan Pulau Pinang 2018 di Dewan Tuanku Hajah Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’dzam Shah (UniSHAMS), semalam.


Menurutnya, kejayaan menempuh alam pengajian selama dua tahun dengan keadaan berkerusi roda banyak dibantu kawan-kawan dan pensyarah.


“Saya ada kumpulan belajar yang sangat membantu dalam memahami satu-satu subjek.


“Kawan dan pensyarah juga membantu tolak kerusi roda setiap kali sampai ke kolej,” katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik kelahiran Kulim.


Nur Akma berkata, demi masa depannya, dia juga akan menyambung pengajian dalam peringkat Diploma di Politeknik Kulim Disember ini.


“Saya terpilih sambung pengajian di sana, memang tak sabar nak teruskan pengajian.


“Dalam masa sama, ibu dan ayah akan bantu saya jalankan perniagaan makanan sejuk beku secara online,” katanya.


Sementara itu, ibu, Sarinah Hassan, 46, berkata, Nur Akma juga mengambil alternatif sendiri dalam mengembangkan ilmu perniagaan atas talian.


“Dia banyak sertai kursus dan bengkel keusahawanan. Anak juga daftar sendiri kursus yang mahu disertai.


“Minatnya dalam perniagaan mungkin timbul daripada suami (Abdul Rahman Ahmad, 52) yang berniaga di market sebaik pencen daripada TUDM lebih kurang lima tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.


Sarina Hassan yang juga guru Bimbingan dan Kaunseling sebuah sekolah di Kulim berkata, Nur Akma juga menjadi aspirasi pelajar OKU lain.


“Dalam kem motivasi, saya akan bawa Nur Akma. Dia dijadikan idola kepada pelajar sekitar Kulim yang tidak bersemangat ke sekolah.


“Walaupun keadaannya seperti ini, tetapi dia tidak pernah ponteng sekolah. Kehadirannya penuh dan pernah menerima anugerah kehadiran,” katanya.


Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia, Wan Mohamad Nasir Abdul Rahman berkata, pelajar aktif Kolej Komuniti seluruh negara mencatatkan bilangan seramai 19,925 dengan jumlah kolej sebanyak 102.


“Jumlah graduan konvokesyen di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada tahun ini ialah seramai 2,250 manakala jumlah graduan Kolej Komuniti seluruh Malaysia bagi 2018 ialah seramai 10,432,” katanya.


Beliau berkata, jumlah graduan Kolej Komuniti dari awal penubuhan hingga kini ialah seramai 154,039 orang.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]