Tempelak kerajaan enggan bantu nelayan

in Edisi by


KUANTAN – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertegas kepada kerajaan PH untuk meneruskan insentif sara hidup bulanan RM300, kepada golongan nelayan.


Menurutnya, BN sebelum ini mempunyai mekanisme yang baik seperti GST bagi memastikan kerajaan mempunyai cukup kewangan untuk memberikan pelbagai elaun kepada golongan tersebut.


“Ini termasuklah Elaun Sara Hidup (ESH) dan BR1M.  Saya tak tahu kerajaan baharu sekarang putuskan untuk teruskan atau tidak.. apa yang saya tahu nelayan bergantung pada sara hidup itu.


“Kita mahu kerajaan teruskan. BN sudah pastikan punca kewangan yang cukup untuk sara hidup ini. Tuan-tuan dan puan-puan jangan salahkan BN kalau kerajaan (sekarang) tak mampu teruskan.


“Kalau tak mampu teruskan, serah balik pada BN!,” katanya di hadapan kira kira lebih 300 penduduk perkampungan nelayan Kampung Pantai Beserah di sini, sebentar tadi.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program sembang santai sambil menyantuni golongan nelayan di kampung tersebut.


Najib turut berkata, sekiranya kerajaan gagal meneruskan elaun tersebut bererti rakyat mendapat kerajaan yang lebih buruk berbanding BN.


Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penghapusan elaun sara hidup ke atas 57,000 nelayan di negara ini.


Namun Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub menegaskan kenyataan Tun M itu tidak melibatkan elaun bulanan sara hidup tersebut sebaliknya merujuk kepada pemberian insentif sekali sahaja di era BN sebelum ini.


“Kenyataan Perdana Menteri tidak membabitkan pemberian lain dan ini termasuk ESH nelayan yang telah termaktub sebagai program-program di bawah kementerian,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]