Wan Kuntom mahu tukar nama kerana malu

in Edisi Terengganu by


BESUT – Pernah terlintas di hatinya untuk meminta bapa menukar pendaftaran namanya kerana malu memiliki nama lain daripada lain.


Wan Kuntom Wan Abdullah, 60, berkata, hasrat tersebut terbit di lubuk hati untuk berbuat demikian ketika bersekolah menengah dahulu tetapi dibatalkan selepas dipujuk bapa, Wan Abdullah Wan Muda.


Menurut bekas guru ini, beliau agak malu dengan nama itu apabila sering diejek rakan-rakan sekolah memandangkan nama janggal seperti nama klasik.


“Apabila memasuki sekolah menengah, saya bertanya kepada ibu, Maznah Abdullah, mengapa mereka memilih nama tersebut untuk saya kerana saya malu apabila sering menjadi perhatian.


“Apatah lagi dalam lima adik beradik, hanya saya seorang sahaja nama pelik begitu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan SEDC, Kampung Raja, di sini.


Bapa daftar nama secara sembunyi


Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Permaisuri Nur Zahirah ini berkata lagi, ibunya memberitahu nama tersebut adalah pilihan datuk sebelah bapanya (Wan Muda Wan Embong).


Menurutnya, berlaku sedikit pertelingkahan dalam memberi namanya antara ibu dan bapanya dahulu.


“Ibu mahu ayah namakan saya sebagai Wan Zaiton tapi datuk bersungguh-sunggu minta ayah bagi nama Wan Kuntom.


“Nama Wan Kuntom dikatakan mempunyai erti besar buat datuk saya kerana nama itu merupakan nama datuk kepada nenek saya (isteri Wan Muda) iaitu berasal dari kalangan keluarga hulubalang istana Sultan Terengganu pada zaman dahulu,” katanya yang berasal dari Batu Rakit.


Wan Kuntom berkata lagi, bapanya telah mendaftar nama Wan Kuntom di dalam surat beranak secara sembunyi tanpa pengetahuan ibu.


Menurutnya, ibunya hanya mengetahui nama sebenarnya adalah Wan Kuntom ketika membawanya mendapat rawatan di klinik kesihatan bergerak ketika dia berumur dua tahun.


“Dalam tempoh 2 tahun sebelum itu, ibu mati-mati ingat nama saya didaftarkan sebagai Wan Zaiton malah dia memanggil saya Zaiton,” katanya.


Kata Wan Kuntom lagi, bapa terus memujuk ibu agar akur sahaja dengan kehendak datuknya tambahan hubungannya dengan datuk amat rapat.


Sering jadi bahan ejekan


Menurutnya, akhirnya beliau dapat menerima nama itu biarpun sebelum itu sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan terutama ketika sekolah rendah mahupun menengah.


“Perasaan malu hanya peringkat awal tapi lama kelamaan sudah menjadi perkara biasa. Selain perhatian kawan-kawan, saya turut menjadi perhatian guru umpamanya kalau guru yang baharu masuk kelas, pasti mereka akan bertanya siapa yang bernama Wan Kuntom terlebih dahulu,” katanya.


Dalam pada itu dia tidak pasti makna sebenar kuntom yang dimaksudkan datuknya tetapi lazimnya nama tersebut merujuk kepada bunga.


Malah katanya, sepanjang hayatnya beliau baharu bertemu hanya seorang pelajar perempuan yang mempunyai nama hampir sama iaitu Kuntum ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib, Kuantan.


Wan Kuntom yang mendirikan rumahtangga dengan Adnan Awang, 60, dikurniakan enam cahaya mata iaitu empat lelaki dan dua perempuan.


Hakembang dipanggil Mok Ngoh


Seorang lagi yang memiliki nama unik di daerah ini iaitu Hakembang Yaacob, 56, seorang pengusaha kedai makan di Kampung Belaoh dekat Keruak, Hulu Besut.


Bekas kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Pembangunan Desa (Kemas) Besut itu membahasakan dirinya dengan panggilan Mok Ngoh.


“Memang saya lebih dikenali dengan panggilan Mok Ngoh kecuali kalau di kalangan rakan sekolah sahaja yang panggil Hakembang atau Kembang.


“Kalau panggil Mok Ngoh jadi tidak nampak sangatlah nama itu,” katanya berseloroh.


Hakembang berkata, namanya dicadangkan oleh seorang rakyat Singapura yang merupakan kawan rapatnya bapanya.


Menurutnya, lelaki itu sering datang ke rumahnya dahulu untuk mendapatkan hasil hutan kerana bapanya sering memasuki hutan.


“Kebetulan ketika dia datang, saya baru dilahirkan, lalu dia cadangkan nama tersebut dan bapa saya mengikutnya.


“Dalam adik beradik saya, hanya saya seorang sahaja nama pelik tapi adik perempuan saya yang bernama Syakinah, 54, turut digelar Kuntum oleh penduduk kerana nama saya Kembang dan sekarang orang panggil adik saya dengan panggilan Mok Nik Tum,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]