Wujudkan program pemulihan kerohanian

in Nasional by


USAHA kerajaan untuk membantu golongan transgender atau lebih dikenali sebagai mak nyah dengan memberikan modal perniagaan disifatkan positif dan dalam masa sama kerajaan perlu menerapkan program pemulihan kepada golongan berkenaan.


Pakar motivasi dan kaunselor, Hushim Salleh berkata, program pemulihan berkenaan perlulah berbentuk kerohanian seperti pemantapan akidah dan ilmu agama supaya golongan ini kembali ke pangkal jalan.


“Jika kerajaan memberikan modal dan membiarkan golongan berkenaan terus hanyut, ia diibaratkan seperti penagih dadah masuk ke pusat serenti, kita bagi bantuan akhirnya mereka terjebak kembali dengan dadah.


“Sebab itu, pentingnya bimbingan rohani dan akidah yang berterusan dan jangan tinggalkan mereka. Jati diri mereka masih lemah. Sokongan itu perlu berterusan,” katanya.


Beliau berkata, bukan kesemua mak nyah tidak berpendidikan tetapi mereka terpaksa menjual diri untuk mencari pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.


“Saya banyak terlibat dengan golongan mak nyah dan kebanyakan daripada mak nyah sebenarnya tersepit dan terpaksa terlibat dengan aktiviti menjual diri memandangkan golongan ini sering di diskriminasi oleh masyarakat di negara ini.


“Ada dalam kalangan mak nyah ini mempunyai ijazah dan cerdik pandai tetapi mereka tidak dapat mencari kerja kerana masyarakat tidak dapat menerima mereka,” katanya.


Bukan menyokong golongan ini, Hushim sebaliknya menjelaskan, itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat di negara ini.


Beliau berkata, kerana itulah pentingnya iltizam untuk membawa golongan tersebut ke pangkal jalan dengan mengetengahkan mereka dalam program kerohanian.


“Bagi mereka modal dan pantau apa yang dilakukan serta galakkan mereka supaya menyertai program pemulihan dan kerohanian seperti menghadirkan diri ke kuliah-kuliah akidah,” katanya.


Dalam masa sama menurutnya, semua pihak termasuk kerajaan perlu memainkan peranan dengan membantu mereka menjadi usahawan dan menjadi mukmin yang profesional.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]