52 kes HFMD direkod di Kemas Pahang

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Sebanyak 52 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Taman Bimbingan Kanak-kanak (tabika) dan taska kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negeri.

Pengarah Kemas negeri, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi berkata semua kes tersebut adalah terkawal dan dan tiada tabika mahupun taska yang ditutup ekoran penyakit tersebut.

“Kes ini melibatkan 45 kanak-kanak tabika dan tujuh kanak-kanak taska.

“Ibu bapa diminta untuk tidak menghantar anak ke taska dan tabika bagi mengelakkan penularan penyakit itu,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Prapelancaran Hari Kebangsaan 2018 peringkat negeri di Tabika Kemas Felda Bukit Goh, di sini semalam.

Turut hadir Penolong Pengarah Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas negeri Pahang, Dahliah Osman dan Pengurus Felda Bukit Goh, Abdul Raiz Rifin.

Beliau berkata pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada Jabatan Kesihatan dalam memastikan penyakit ini tidak merebak.

“Mana-mana tabika dan taska yang terlibat dengan HFMD dipantau dan diperiksa oleh klinik kesihatan terdekat bagi memastikan pelajar lain tidak dijangkiti,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu, Ahmad Fakhrul Azman berkata ia diadakan serentak di seluruh negara hari ini, melalui simbolik penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengarah Kemas setiap negeri kepada wakil murid tabika.

Sambutan itu bertujuan bagi memastikan kanak-kanak dapat menghayati makna kemerdekaan dan berusaha untuk mengekalkannya selain memupuk semangat patriotisme dalam diri mereka – Bernama.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]