Beri rebat, tarik pemandu guna jambatan kedua Pulau Pinang

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pemegang konsesi Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS), Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), disaran untuk mempertimbangkan pemberian rebat bagi menarik lebih ramai pengguna menggunakan jambatan berkenaan sekali gus meningkatkan hasil kutipan tol.


Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 Siri 1 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan dan Agensi Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan hari ini, meskipun kutipan tol di jambatan kedua Pulau Pinang berkenaan mencapai tahap yang memuaskan, namun berdasarkan empat analisis kewangan yang dijalankan, kedudukan kewangan JKSB secara keseluruhannya masih kurang stabil.


Menurut laporan itu, syarikat juga mengalami kerugian tahunan bagi tiga tahun berturut-turut dan kerugian terkumpul yang meningkat.


“Selain itu, hasil kutipan tol masih belum mampu menampung perbelanjaan yang meningkat dan liabiliti pinjaman yang tinggi berbanding jumlah asset,” katanya.


Menurut laporan itu, selain faktor kedudukan jambatan kedua yang terletak pada jarak 30 minit perjalanan dari bandar utama, pemberian rebat sebanyak 20 peratus oleh syarikat konsesi Jambatan Pulau Pinang kepada penduduk Pulau Pinang yang berdaftar dengan PLUS turut mempengaruhi pilhan penduduk.


Sehingga tahun lepas, katanya bilangan trafik di JSAHMS meningkat sebanyak 1.97 juta trafik atau 32.4 peratus berbanding 2016 dengan jumlah kutipan tol sejumlah RM38.64 juta, iaitu 29.5 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.


Dalam maklum balas JKSB, syarikat berkenaan menyasarkan pertumbuhan kutipan tol yang sederhana tahun ini, iaitu sebanyak tujuh peratus atau RM2.68 juta berbanding tahun lepas.


Syarikat berkenaan juga menjangkakan peningkatan trafik secara berperingkat selepas projek kawasan rehat dan rawat siap pada suku keempat tahun ini.


Selain itu, syarikat berkenaan juga menjangkakan peningkatan trafik sebanyak 20 peratus berikutan pembukaan jajaran baharu Bayan Lepas Expressway yang bersambung dengan JSAHMS. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]