Garis panduan pekerja wanita Islam di sektor swasta

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam fasa akhir untuk membangunkan satu garis panduan berpakaian bagi pekerja wanita di sektor swasta.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, proses pelaksanaan garis panduan ini mendapat kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM), Kementerian Sumber Manusia dan Jakim.


“Dalam fasa akhir ini, kita harap dapat keluarkan garis panduan yang akan dibawa kepada panel syariah untuk lihat kesesuaiannya. Kemudian kita hantar balik kepada JTKSM yang akan keluarkan kod etika pakaian pekerja wanita Muslim di sektor swasta.


“Maknanya kami tak biarkan isu ini berlalu begitu saja. Tapi kita ambil inisiatif berkaitan isu aurat pekerja wanita Islam,” katanya ketika menggulung titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN : Larangan bertudung pekerja hotel satu diskriminasi]


[ARTIKEL BERKAITAN : Kerajaan tiada perancangan ubah dasar uniform pramugari]


Menurut beliau, kerajaan akan memastikan kod etika itu dapat dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.


Dalam pada itu, katanya, Jakim turut dilantik menganggotai jawatankuasa menangani diskriminasi di tempat kerja.


“Melalui kerjasama ini, diharap tiada lagi isu diskriminasi kepada wanita Islam. Khususnya untuk isu pakaian dan mengamalkan pegangan agama dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]