Guan Eng cadang The Equanimity dijual

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berpendapat jalan terbaik mengembalikan semula wang 1MDB ialah dengan menjual kapal persiaran mewah, The Equanimity pada harga terbaik.


Menurutnya, aset bernilai RM1 bilion mesti dijual supaya rakyat mendapat manfaatnya.


“Daripada membiarkan kapal persiaran mewah itu tersadai, perlu bayar kos penyelenggaraan membuatkan nilainya menyusut jadi  elok dijual sahaja,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.


Guan Eng memaklumkan, sekembalinya The Equanimity esok, ia akan menjadi hak milik Kerajaan Malaysia.


[ARTIKEL BERKAITAN : Terima kasih Indonesia, pulangkan The Equanimity]


Bagaimanapun, menurutnya, beliau menyerahkan segala keputusan terhadap urusan The Equanimity kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.


“Kapal mewah ini akan  menjadi harta Kerajaan Malaysia. Kita hanya berminat dengan berapa nilaian harga aset tersebut.


“Apa-apa pun kita serahkan kepada keputusan Peguam Negara,” ujarnya.


Tambah Guan Eng, apabila kapal mewah itu berlabuh di perairan Malaysia, Peguam Negara akan menyediakan dokumen, kawalan dan semakan inventori aset yang dimuatkan dalam kapal tersebut.


“Kami berharap orang ramai juga berpeluang  untuk menyaksikan sendiri kapal mewah berkenaan dan beberapa bahagian yang mungkin tidak mengandungi barangan berharga di dalamnya, mungkin ada kawalan.


“Akhirnya kita akan kembalikan semua wang daripada aset yang ‘dicuri’ dari Malaysia . Harapnya ia dapat dikembalikan dengan nilai yang besar,” ujarnya.


Ketika ditanya adakah pemulangan kapal mewah berkenaan bercanggah dengan arahan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, Guan Eng percaya jabatan itu turut memainkan peranan penting dalam usaha pengembalian aset tersebut.


“Kejayaan pemulangan The Equanimity ini juga hasil usaha perbincangan dan rundingan dengan DOJ juga. Peguam Negara akan kemukakan kenyataan, saya percaya dengan kerjasama mereka (DOJ).


“Peguam Negara akan beri penjelasan esok, tunggu kapal mewah itu sampai di sini,” tambahnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]