Integriti, UMP meterai MoU kukuh nilai integriti

in Nasional by


PEKAN – Institut Integriti Malaysia (Integriti) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), antara lain membolehkan kedua-dua pihak menerokai peluang memperkenalkan modul pengajian integriti dan governans atas talian.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, ia sebahagian daripada usaha bagi menyokong agenda pemupukan budaya berintegriti dan melahirkan rakyat Malaysia yang berintegriti tinggi.


“Perkara ini sedang diteliti oleh Integriti dan pengurusan UMP di mana kami sedang mencari pendekatan terbaharu, yang bersifat kontemporari bagi mendukung usaha memupuk nilai-nilai integriti,” katanya selepas majlis menandatangani MoU yang berlangsung di kampus UMP di sini, semalam.


Usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Pusat Governans dan Integriti (GIC), Fakulti Pengurusan Industri, UMP.


Bagi pihak Integriti, MoU ditandatangani oleh Ahmad Fadzli manakala UMP diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim.


Ahmad Fadzli menyifatkan majlis ini sebagai langkah penting ke arah memperkukuh usaha pemupukan dan pembudayaan nilai-nilai integriti.


Beliau berkata, kedua-dua Integriti dan UMP akan menjalankan penyelidikan bersama dalam mewujudkan organisasi berintegriti yang bebas dari segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan secara berterusan.


“Integriti dan UMP juga akan mewujudkan persefahaman dan berkongsi pengalaman dalam aspek khidmat rundingan, latihan, pendidikan serta usaha-usaha peningkatan amalan etika dan integriti dengan berlandaskan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di Malaysia,” katanya.


Ahmad Fadzli berkata, MoU ini akan membolehkan Integriti dan UMP mewujudkan persefahaman serta bersepakat untuk bekerjasama dalam menyemai dan membudayakan integriti sebagai amalan hidup dalam kalangan pegawai pentadbir, staf akademik, para pelajar dan pihak-pihak berkepentingan UMP.


“Ini juga selari dengan output Integriti iaitu menggerakkan masyarakat pelbagai peringkat dalam memupuk nilai-nilai integriti,” katanya.


Menurutnya, kerjasama menerusi MoU ini akan membolehkan kedua-dua Integriti dan UMP bersepakat dan bekerjasama dalam menganjurkan bengkel, seminar, kolokium dan seumpamanya.


“UMP dengan kerjasama Integriti akan menganjurkan satu persidangan berkaitan integriti dan tadbir urus awal tahun depan, katanya.


Dalam pada itu, Daing Nasir menyifatkan kerjasama UMP dan Integriti ini sebagai langkah signifikan dalam melahirkan persekitaran kukuh nilai-nilai integriti.


“UMP sejak penubuhan menekankan nilai-nilai teras bagi melahirkan masyarakat yang berintegriti tinggi dan berdaya tahan. Justeru, majlis hari ini sesuatu yang signifikan ke arah itu,” kata beliau.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]