Jadi kuat dan hebat

in Bisnes by


 APABILA kita sudah bertekad bulat mahu jadi usahawan, jangan sekalipun remehkan kehebatan diri. Tanpa upaya yakin diri , kita akan kalah berkali kali dalam gelanggang dan kita akan jadi pecundang.


Ada banyak masa , kita merasa bagaikan sampah dibuang, ditendang dan diterajang. Itu biasa. Proses kuatkan diri sebagai usahawan. Sampai masa kita akan dikutip kembali bagaikan sebutir mutiara yang tersembunyi dalam ribuan cengkerang mendasar di laut nan dalam.


PERKONGSIAN DALAM PERUSAHAAN


Bisnes melebar dengan perkongsian. Untuk berjalan pantas, boleh sahaja jalan sendirian. Jadi solopreneur. Untuk jalan jauh, kita perlukan perkongsian dan tim. Namanya kolaborasi dengan teman teman.


Memang wajar kita berbuat baik dengan orang yang paling dekat dengan kita. Namun dalam bisnes, kepercayaan harus terikat pada perjanjian dan ditambat atas kertas. Ini fakta penting supaya kita tidak dimanfaatkan oleh orang yang mendekat dan tidak berdepan kesulitan dalam kerjasama pada masa depan.


Urusan persahabatan mesti dipisahkan dari masalah kerja. Itu cara orang professional bekerja. Apakah tafsiran kesetiaan? Apakah ia bergantung pada kecintaan tanpa batas? Apakah ia perlu tolerasi hingga merugikan? Apakah kita tutup mata pada kesalahan kesalahan yang berpunca dari kelalaian dan kealpaan pengurusan?


Adil kepada semua orang. Namun jangan percaya begitu sahaja kepada semua orang. Jangan memegang pedang dibahagian yang tajam. Ketahui cara memegang senjata yang baik.Banyak masa teman sejati itu bagaikan pedang. Salah pegang ia melukakan tangan.


Kepercayaan bukan sekadar cek kosong. Bukan juga pada kata kata manis, Ia adalah hubungan seimbang. Persahabatan berpanjangan. Akhlak yang takut pada Tuhan. Saling menghormati mendokong harga diri. Ini penting dalam bisnes, untuk mengelak kita dari menuai penyesalan dalam perkongsian.


Semua ini adalah garis garis besar dalam bisnes. Perkongsian dalam perusahaan adalah antara perkara paling sulit mahu dipertahankan. Sentiasa ada dugaan dan cubaan menebar duri  dijalan persahabatan yang bakal kita temui. Kerikil, duri dan kaca tajam yang selalu melukakan kaki.


Kata bijak untuk ingatan, tidak ada yang pasti di dunia perkongsian. Banyak masa teman terdekat boleh berubah menjadi musuh terjahat. Fahami titik titik kelemahan ini dan sentiasa berdamai dengan diri”


“Usah sekalipun menaruh cuka dalam mangkuk persahabatan. Usah banting pintu saat mahu keluar. Satu masa kita akan bertaut kembali. Cinta persahabatan itu tidak bersayap. Jangan kerana wang dan beza pendekatan kita berbalah berentap”


PERSAINGAN DALAM PERNIAGAAN


Mahatma Ghandi menyebut, “Perangi musuh dengan senjata yang dia takuti, bukan dengan senjata yang kita takut”. Pastikan dalam mana mana perang (persaingan bisnes), kita mendapat pertolongan terdahulu sebelum kita umumkan perang.


Sikap terbuka yang berlebihan akan mudah bertukar jadi senjata yang bakal memakan diri. Usaha da ujaran benci pada sesiapa pun. Usah bina rumah ratapan dalam media sosial. Sentiasa bina rumah harapan yang janjikan masa depan.


Banyak masa ambil sikap berdiam. Usah ungkapkan isi hati dan pendapat kepada sembarangan orang. Tenang dan sentiasa tersenyum. Kurangkan pendapat dan banyakkan pendapatan.


Samarkan tujuan. Sembunyikan perencanaan. Strategi adalah apa yang ada dalam minda. Taktik adalah apa yang depan mata.


Orang boleh tiruvasi taktik. Sampai bila pun orang tidak akan boleh tiru strategi. Seorang jenderal yang ingin menang perang , tidak akan membiarkan orang tahu rahsia disebalik tujuan. Gerak tindak lanjut beliau pasti sukar diduga lawan.


Dalam mana mana strategi bisnes, akan dua perkara. Senyuman dan senjata. Gunakan dua duanya untuk membangunkan bisnes masa depan saat berdepan pesaing.


Senyum polos, berhati baik. Itu wajib. Pinjamkan pakaian kasih sayang dalam membangunkan tim bisnes. Hadirkan keyakinan, bina kekuatan.


Namun, jangan buang senjata. Persaingan tetap persaingan. Jangan tenggelam dan celaka hanya kita terlupa pada satu aspek penting dalam pengurusan – iaitu pengurusan strategi. Belajar dan hadam untuk melangkah jauh kehadapan.


Fokus pada bola ditengah padang. Bina emosi matang. Hadapi segala kekasaran dan bentesan dengan senyum memanjang walaupun sakitnya bukan kepalang tanggung. Lakukan berkali kali hingga bola masuk ke gawang lawan.


KURANG PENDAPAT BANYAKKAN PENDAPATAN


Belajar ilmu Seni Balairong Seri. Ketahui bilakan waktunya perkataan menjadi emas. Bila pula hanya perak. Dan bilakan waktunya perkataan jadi kayu bakar yang marak menyala menghancurkan segala galanya.


Orang yang banyak bicara, banyak sembang dan gebang akan banyak kesalahannya. Orang yang banyak kesilapan akan punya ribuan pembenci. Mereka yang ramai “haters” sukar mahu beroperasi dan akan terhakis wibawa diri.


Sedikit bicara lambang orang bijaksana. Tahu waktu yang tepat untuk buka mulut dan tahu waktu mana perlu ketap bibir. Piawai kata kata. Sarat makna dan boleh terus terobos dalam jiwa.


Adab balairong seri. Jangan berbicara sebelum orang lain melakukannya. Diam dahulu dan biarkan orang lain mula bicara. Apabila orang lain mula berkata, kita akan dapat memahami makna dan tujuan duduk perkara.


Latih kemampuan untuk membaca keperibadian orang lain apabila kita da kesempatan berinteraksi dengan mereka. Ini merupakan kemahiran balairong seri. Keterampilan wajib dipelajari oleh para usahawan.


POTENSI INSAN DALAM PERNIAGAAN


Ramai teman bertanya dalam sesi “Business Coaching” yang saya kendalikan. Kata mereka , bagaimana mahu menarik bakat terbaik untuk bersama dalam tim bisnes.


Jawapannya, “Apabila anda tidak menjadi singa, bagaimana mungkin anda mahu kuasai perbukitan. Apabila anda tidak menjadi singa, anjing buruan pun akan meremehkan anda”


Semasa di Indonesia, saya selalu bertanya pada pengusaha tangguh yang berjaya bangunkan perusahaan besar di Indonesia, sahabat saya Bapak Radzi Saleh. Jawapan beliau sentiasa konsisten.


“Kesuksesan dalam hidup banyak ditentukan oleh kesungguhan diri dalam  membangunkan diri sendiri supaya kekal bermartabat dan bermaruah. Bekerja dengan upaya keras dengan matlamat akhir, mahu mejulang kebaikan di tengah masyarakat”


Bangunkan sifatvdan nilai nilai baik. Kemuliaan. Ketulusan.  Kasih sayang. Sifat sifat yang jadikan kita berbeza dari pengusaha lain. Dan ia bakal jadi perbincangan orang yang banyak.


Bebaskan diri dari ketamakan. Kekotoran. Sikap melampaui batas. Tikam belakang teman sepasukan. Sembang kencang tanpa fondasi ditengah lapangan.


Bukan gelar itu dan ini yang buat manusia terbilang dan terpandang. Melainkan manusia itu sendiri yang pandai bawa diri dan membangunkan kejayaan dari busut menjadi gunung. Bukti pencapaian itulah yang menjadikan manusia itu bergelar mulia.


Apabila sampai detik sebegini, bakat bakat terbaik yang kita panggil “otak ferarri” akan datang mendekat dan mula bersama membangunkan bakat mengupayakan perusahaan kita ketahap terbaik. InshaAllah.

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]