Jangan sensasikan Perlembagaan Persekutuan

in Uncategorized by


IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua pihak agar tidak sesekali mensensasikan perkara asas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.


Baginda bertitah, meskipun  berlaku perubahan kerajaan, perkara yang menyentuh Raja-Raja Melayu, agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan terus dipertahan dan tidak akan dikompromikan.  


“Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan Negara.


“Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasa menggubal Perlembagaan Merdeka, akan hanya mengundang kepada berlakunya suasana tidak harmonis yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam.


“Rakyat tidak harus dijadikan mangsa, bagaikan kancil terhimpit mati di tengah-tengah, apabila gajah sama gajah memilih untuk terus bertarung,” titah baginda pada pembukaan rasmi Persidangan Dewan Negeri Perak ke 14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.


Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.


Demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama, Sultan Nazrin tmmenitahkan, agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan dalam sistem Mahkamah Syariah di negeri Perak.


Kata baginda, struktur Mahkamah Syariah pada masa ini, memberikan hanya satu lapisan rayuan kepada kes-kes yang perbicaraan atau pendengarannya bermula di Mahkamah Tinggi Syariah.  


“Satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak hendaklah digubal, dibentangi untuk diluluskan Dewan Negeri Perak dalam mesyuarat ketiga Penggal Pertama, Dewan Negeri Perak ke 14,” kata baginda.


Sultan Nazrin turut menitahkan agar kerajaan baharu memenuhi harapan dan amanah rakyat dengan melaksanakan tanggungjawab secara dedikasi serta mengurus tadbir negeri berlandaskan undang-undang dan peraturan.  


Jelas baginda, majoriti pengundi telah berani mengambil risiko melakukan anjakan minda untuk menukar kerajaan atas keyakinan akan berlakunya perubahan yang membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara.


“PRU 14 telah 88 hari berlalu, semasa berkempen, pelbagai janji diumumkan. Era berkempen telah berakhir, penuhilah harapan rakyat,  amanah rakyat secara dedikasi, ikhlas, jujur dan berintegriti.


“Jangan sekali-kali melakukan rasuah, salah guna kuasa, menggunakan jawatan untuk meraut keuntungan peribadi dan keluarga, merosakkan khazanah negeri serta melakukan diskriminasi dan penganiayaan,” titah baginda.


Dalam titah ucapan, Sultan Nazrin mahu ahli dewan dari kedua-dua pihak berperanan sebagai anggota cabang perundangan, bertanggungjawab menyemak serta mengimbangi cabang eksekutif kerajaan.


Titah baginda, ketetapan untuk mengiktiraf secara rasmi jawatan ketua pembangkang adalah satu pembaharuan yang menambah subur semangat demokrasi.


“Semoga persidangan berlangsung dalam semangat saling menghormati serta berupaya menghasilkan idea-idea bernas untuk manfaat negeri dan rakyat,” titah baginda.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]