Jangan tutup kes rasuah

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang diminta agar meneruskan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan perbicaraan.


Selain kes tersebut, kerajaan negeri juga digesa agar tidak menutup kes rasuah lain yang dibawa ke mahkamah di negeri ini.


Ketua Pembangkang, Muhamad Yusoff Mohd Noor berkata, kes rasuah tersebut tidak wajar ditutup dan perlu diteruskan berikutan lima kes seumpama itu digugurkan sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.


“Kerajaan negeri, jangan tarik balik kes rasuah yang dibawa ke mahkamah. Teruskan lah. Termasuk pertuduhan rasuah ke atas menteri kewangan iaitu bekas Ketua Menteri Pulau Pinang. Mana-mana kes rasuah, teruskan lah dengan perbicaraan.


“Sejak 1 Jun hingga 3 Ogos lalu, lima kes melibatkan  sembilan orang telah digugurkan di mahkamah atas persetujuan dan arahan Peguam Negara  sejak kerajaan PH memerintah. Ia termasuk kes Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Tian Chua.


“Ada lima, enam kes digugurkan dan ditarik balik termasuk kes Sosma selepas PH memerintah, jadi kita minta kes bekas ketua menteri Pulau Pinang iaitu Guan Eng pun, jangan jadi seperti itu. Teruskan dengan perbicaraan sehingga selesai,” katanya.


Muhamad Yusoff berkata demikian ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Sidang Dun Pulau Pinang, hari ini.


Tambahnya, beliau bersetuju dan menyokong usaha serta dasar kerajaan negeri yang komited membanteras rasuah.


“Saya sokong dengan usaha kerajaan negeri dalam membanteras gejala rasuah. Tapi dalam kes Guan Eng, kalau salah, salah lah. Kalau tak salah, tak salah lah. Sekurang-kurangnya teruskan sehingga selesai,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Muhamad Yusoff turut memohon agar kerajaan negeri membentangkan Pelan Induk Pencegahan Banjir Pulau Pinang.


“Saya harap kerajaan negeri menyedia dan membentangkan Pelan Induk Pencegahan Banjir Pulau Pinang sama seperti pembentangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dibuat sebelum ini. Pelan itu bagi mengatasi masalah banjir di Pulau Pinang.


“Ia bagi menunjukkan dan membuktikan tanggungjawab kerajaan negeri dalam menunaikan janji mereka untuk menyelesaikan masalah banjir di negeri ini setiap kali hujan lebat,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]