Kedah ke Ipoh tanpa tiga tonggak

in Sukan by


ALOR SETAR – Kedah turun dengan misi memburu bekalan gol ke atas PKNP FC pada aksi suku akhir pertama Piala Presiden di Padang PCRC, Ipoh petang ini biarpun tanpa tiga tonggak utamanya.


Pemangku Pengurus Piala Presiden Kedah, Amirul Nidzam Mahadzir berkata, tiga pemain Hidhir Idris, Fazrul Danel dan Akmal Azizi dilepaskan untuk membantu pasukan utama menghadapi kempen Piala Malaysia.


Menurutnya, bagaimanapun ia bukan alasan buat skuad kendalian Victor Andrag ini untuk tidak memberi saingan sengit kepada lawan yang berstatus kelab itu.


“PKNP FC sewajarnya harus diberi tumpuan juga kerana berdasarkan peringkat kumpulan bagi saingan awal menunjukkan mereka agak konsisten dengan menempatkan diri di kelompok empat pasukan teratas.


“Kita juga sedang mengesan corak permainan lawan dan pada waktu yang sama persiapan rapi bagi menghadapi lawan pada suku akhir pertama ini juga turut dipersiapkan. Misi kami ke sana adalah untuk memburu bekalan gol,” katanya.


Jelas Amirul Nidzam, pasukan membawa masuk tiga pemain terbaik dari skuad Piala Belia Kedah iaitu Mohamad Hasri Firzan Mohd Sukeri, Muhammad Ezmie Naim Eddy Effendy dan Muhammad Shahril Aiman Morad bagi mengisi kekosongan tiga pemain utamanya.


Tambahnya, misi pertama pada perlawanan ini adalah mahu mencuri gol di tempat lawan selain berusaha mengekalkan defisit gol di sana.


“Misi ini diharapkan dapat dicapai sebelum aksi timbal balik suku akhir kedua di Stadium Darul Aman pada 10 Ogos depan,” katanya.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]