'Kenyataan IRI dedah kegiatan 'khianat' PH'

in Nasional by


SHAH ALAM – Umno menganggap kenyataan Presiden International Republican Institute (IRI) mendakwa usaha pertubuhannya untuk ‘mengukuhkan’ parti pembangkang di Malaysia sudah berjalan sejak 2002 itu sebagai suatu yang amat serius.


Ketua Penerangannya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah mendakwa kenyataan Daniel Twining dalam forum anjuran Centre for Strategic and International Studies (CSIS) mendedahkan kegiatan ‘khianat’ pentadbiran PH terutama DAP terhadap kerajaan BN dahulu.


Menurutnya, pendedahan Daniel Twining amat serius yang akhirnya mendedahkan kegiatan ‘khianat’ kerajaan PH terutama DAP dan konco-konco mereka selama ini terhadap kerajaan terdahulu.


“Menjemput dan melibatkan pihak luar untuk campur tangan adalah tidak wajar.


“Sama ada Dr Mahathir  terbabit atau tidak, itu tidak boleh disahkan, namun CSIS yang beroperasi di Malaysia sejak tahun 2002, cukup bangga selepas berjaya berkomplot dengan pembangkang bagi menumbangkan BN pada PRU14,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Shamsul berkata, Umno mencabar pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menafikan perkara itu secara terbuka, dan bersumpah kepada rakyat Malaysia bahawa apa yang dikatakan oleh Twining itu adalah bohong.


Katanya, ‘crocodile tears’ Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno 2003 hanya sandiwara kerana niat perdana menteri memusnahkan Umno didakwa sudah wujud sejak menjalin kerjasama dengan CSIS.


Beliau berkata perlu diadakan suatu siasatan pihak berkecuali dan menggesa Majlis Raja-Raja mengambil pendirian secepat mungkin dalam perkara ini.


“Dengan ini, kami menggesa Majlis Raja-Raja agar mengambil pendirian di dalam perkara ini secepat mungkin, dan bertindak bagi menyelamatkan rakyat dan negara daripada menjadi sebuah lagi negara Islam seperti Yemen, Libya, Iraq dan Syria,” katanya.


Sementara itu, memetik laporan Malaysia Kini, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau menafikan dakwaan sebuah pertubuhan dikaitkan dengan tokoh kanan parti Republikan dan bekas pegawai tinggi perisikan Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan parti pembangkang di negara ini untuk menjatuhkan BN.


Menurutnya, tidak pelik IRI bekerjasama dengan parti pembangkang di negara ini kerana mendakwa badan pemikir itu turut bekerjasama dengan BN dan Gerakan.


“Saya rasa semua aktiviti yang kami lakukan dan jalankan adalah bersifat telus, mereka bukan sahaja membantu PH, tetapi juga membantu BN dan Gerakan. Latihan diberikan IRI dijalankan mengikut lunas undang-undang.


“Sudah tentu kami tidak bekerjasama dengan IRI bagi menjatuhkan BN dalam pilihan raya umum lalu, pada 9 Mei. Mana-mana teori konspirasi harus disasarkan kepada surat CIA ( Agensi Perisikan Pusat) itu,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]