Kerajaan Kedah perlu jana ekonomi baharu

in Edisi Utara by


KULIM – Kerajaan Kedah dicadangkan menjana ekonomi baharu daripada terus bergantung kepada hasil hutan di dalam persidangan Dun.


Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata zaman kerajaan negeri bergantung kepada hasil hutan sudah lama berlalu.


Menurutnya, kerajaan Kedah perlu menjana hasil ekonomi baru dan tidak boleh lagi membenarkan pembalakan berlaku di kawasan hutan simpan.


“Zaman itu sudah berlalu, hutan sudah tak banyak mana. Kedah perlu jana ekonomi baharu lain.


“Berapa duit sangat Kedah dapat hasil premium balak tak berapa duit pun.


“Carilah, rekalah macam mana pun supaya hasil baharu dapat dijana,”katanya.


Beliau berkata, sidang Dun Kedah boleh membincangkan isu tersebut dan mencari jalan untuk kerajaan negeri menjana hasil baharu.


“Contohnya kerajaan Kedah perlu berunding dengan kerajaan Pulau Pinang sumbangan tetap kerajaan Pulau Pinang kepada Kedah, sudah cecah beratus tahun.


“Kita telah berikan Seberang Prai kepada Pulau Pinang, mereka kena bayar 10,000 duit Spanish mengikut perjanjian selagi ada  bulan dan bintang.


“Namun itu perjanjian lama, kerajaan negeri boleh berunding semula dengan kerajaan Pulau Pinang supaya nilai pampasan itu ikut perkembangan semasa,”katanya.


Saifuddin juga berkata kerajaan negeri juga boleh menjana ekonomi melalui sungai dengan menyemak status pemilikan tanah.


“Contohnya lebuh raya dari Bukit Kayu Hitam sampai Sungai Dua, asal ada sungai di bawah itu hasil kerajaan negeri.


“Kedah kena tulis surat minta pampasan kepada Lebuhraya Utara Selatan (Plus) semak status tanah di hentian rehat dan rawat (RNR) Sungai Petani, Gurun adakah ia ditukar hak milik kalau tak, boleh nilai balik pampasan,”katanya.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]