Kerajaan Perak junjung kasih titah Sultan Nazrin

in Uncategorized by


IPOH – Kerajaan negeri menjunjung kasih atas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mewujudkan satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan dalam sistem Mahkamah Syariah di negeri Perak.


Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, enakmen itu membolehkan pihak terlibat mendapat keadilan sewajarnya.


Menurutnya, pelaksanaannya juga nanti membolehkan pihak yang tidak berpuas hati dari segi keputusan yang dibuat di Mahkamah Tinggi, mengemukakan rayuan untuk diproses pula ke Mahkamah Rayuan.


“Sebelum ini semua proses terhenti setakat itu sahaja (Mahkamah Tinggi), kalau keputusannya itu, itulah. Tak boleh buat rayuan. Tapi sekarang ini ada lagi satu lapisan iaitu Mahkamah Rayuan bagi membolehkan  sesiapa yang tidak berpuas hati untuk buat rayuan sekali lagi,” katanya kepada pemberita, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah baginda sempena pembukaan rasmi Persidangan Dewan Negeri Perak ke 14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, semalam.


Sultan Nazrin menitahkan agar satu lagi lapisan Mahkamah Rayuan diwujudkan  dalam sistem Mahkamah Syariah demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama di negeri ini.


Titah baginda, satu enakmen Mahkamah Syariah Negeri Perak hendaklah digubal, dibentangi untuk diluluskan di dalam Dewan Negeri Perak ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke-14.


Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, peringatan yang dizahirkan Sultan Nazrin perlu diambil perhatian semua pihak.


Katanya, titah berkenaan meliputi semua perkara, terutamanya nasihat kepada semua pihak tanpa mengira ideologi politik.


“Semua pihak perlu tinggalkan segala perbalahan yang berlaku dalam pilihan raya lalu dan kerajaan yang ditubuhkan perlu mentadbir dengan baik,” katanya.


Beliau juga mahu barisan pentadbiran kerajaan negeri menerapkan sikap benci pada rasuah, penyelewengan kuasa dan sebagainya.


“Inilah perkara yang kerajaan Pakatan Harapan nak bawa dan kita telah mulakan tindakan ini dengan pengisytiharan harta bagi ahli mesyuarat kerajaan negeri serta semua Adun termasuk juga lantikan baru yang menjawat jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]