Ketua Audit Negara dedah kelemahan JKM Perlis, Maips

in Nasional by


KANGAR – Kelemahan pengurusan kewangan dan ketidakcekapan tadbir urus sebuah jabatan kerajaan dan sebuah agensi kerajaan negeri Perlis didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.


Agensi tersebut ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).


Laporan itu menyebut pengauditan terhadap JKM dibuat dari September hingga Disember 2016 mendapati pada keseluruhannya urusan pemberian Bantuan Am dan Bantuan Membaiki Rumah dari 2014 hingga 2016 yang dilaksanakan adalah kurang memuaskan.


Bantuan Am yang diberikan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, penghidap penyakit kronik dan keluarga miskin berpendapatan bawah RM830 sebulan tidak dilaksanakan dan diselia dengan memuaskan.


“Akibat kecuaian itu, Audit mendapati 21 penerima yang tidak mempunyai butiran lengkap atau tidak wujud termasuk bukan warganegara dan yang tidak layak menerima bantuan berjumlah RM61,610 manakala 32 orang yang telah meninggal dunia menerima bantuan berjumlah RM20,610.


“Semakan Audit juga mendapati kelewatan kelulusan permohonan itu dan penyaluran bantuan berlaku sehingga 90 hari membabitkan 46 orang dan lima orang lagi melebihi 91 hari daripada 237 permohonan  kerana lewat disiasat,” menurutnya.


Mengikut rekod, seramai 3,964 penerima Bantuan Am menerima antara RM100 hingga RM300 sebulan di seluruh negeri berjumlah RM22.03 juta walaupun sasaran cuma RM21.43 juta dalam tempoh tersebut.


Bagi Bantuan Membaiki Rumah yang dihadkan kepada RM3,000 sebuah, sebanyak RM724,000 (139.2 peratus) dibelanjakan berbanding sasaran cuma RM520,000.


Walaupun tidak menyebut jumlah rumah yang dibaiki, Ketua Audit Negara tidak berpuas hati dengan pegawai JKM kerana tidak membuat pemantauan susulan menyebabkan wang bantuan yang diberi tidak digunakan sebagaimana diluluskan.


Ketua Audit Negara secara umumnya berpuas hati dengan pengurusan kelulusan pemberian  Bantuan  Am oleh JKM Perlis namun mengesyorkan agensi itu supaya sentiasa mengemas kini data penerima, membuat semakan bersilang dengan sistem myIDENTITY dan memantau penerima supaya tidak menyalahgunakan bantuan.


Berhubung prestasi Maips, pengauditan yang dijalankan  dari September hingga Disember 2016 juga menemui beberapa kelemahan Majlis itu seperti tidak merekodkan jumlah permohonan untuk membina dan membaik pulih rumah walaupun tiada yang ditolak.


Menurut laporan itu, prestasi agihan bantuan tersebut untuk asnaf adalah baik tetapi pelaksanaannya  tidak memuaskan kerana dibina antaranya atas tanah tanpa kebenaran tuan tanah, penerima tidak  menerima bantuan seperti diluluskan, dan kecacatan pada rumah yang dibina dan surat tawaran Maips tidak lengkap.


Maips memperuntukkan RM7.35 juta bagi membina 315 unit dan membaik pulih 1,347 unit dengan kos RM28.82 juta bagi tempoh 2014 hingga 2016 tetapi telah membina 470 unit dengan kos RM15.05 juta dan membaik pulih 945 unit membabitkan perbelanjaan RM13.54 juta.


“Bagi memastikan kecekapan urus tadbir korporat dan pengurusan kewangan Maips dengan lebih cekap, disyorkan Majlis menyediakan garis panduan pembinaan dan membaik pulih rumah asnaf dan mewujudkan jawatankuasa untuk meluluskan setiap permohonan,” menurut laporan itu. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]