Koguru agih dividen 15 peratus kepada ahli

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (Koguru) yang memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM4.65 juta bagi tahun kewangan 2017 mengagihkan dividen sebanyak 15 peratus kepada ahlinya.


Pengerusinya, Alias Yahya berkata, agihan dividen kepada seramai 10,244 ahli itu dibuat dalam tempoh 30 hari bermula 5 Ogos.


Menurutnya, agihan 15 peratus dividen yang dibuat tahun ini meliputi lima peratus yuran ahli iaitu simpanan tetap setiap bulan manakala 10 peratus lagi melibatkan syer ahli.


“Kita mula agih dividen dengan pembayaran setinggi 15 peratus dengan anggaran pembayaran berjumlah RM 2,544,225.81 bermula 5 Ogos lalu.


“Hari pertama pembahagian dividen sambutan yang diterima begitu menggalakkan dengan lebih 974 ahli telah mengambil dividen mereka,” katanya.


Alias berkata, bayaran tunai dividen akan dibuat dalam tempoh dua minggu bermula tarikh pembahagian dividen di koperasi Koguru.


“Tarikh tuntutan dividen adalah sehingga 30 September 2018 dan sekiranya tidak dituntut, dividen itu akan dipindahkan ke dalam yuran simpanan ahli. Urusan penukaran tunai cek dividen yang diperoleh boleh dilakukan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.


Koguru yang ditubuhkan sejak 1965 kini mempunyai seramai 12,000 ahli dan merupakan antara koperasi yang aktif di Terengganu.


Alias berkata, berdasarkan sambutan memberangsangkan, pihaknya menyasarkan pertambahan keahlian seramai 1,500 pada 2019.


“Berdasarkan unjuran ekonomi yang memberangsangkan, kita menjangkakan mampu memberikan pulangan dividen sebanyak 16 peratus tahun depan, iaitu bagi tahun kewangan berakhir 2018,” katanya.


Antara punca pendapatan Koguru ialah melalui kredit, pembiayaan ahli dan aktiviti lain seperti Ar-Rahnu, jual beli lot tanah, sewa bangunan serta aktiviti keagamaan seperti umrah, haji, korban, akikah, infak dan wakaf.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]