Mat Don belum pulih lagi

in Sukan by


ALOR SETAR – Harapan Kedah untuk menggunakan perancang importnya, Liridon Krasniqi pada perlawanan kedua Kumpulan C Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat ini tidak kesampaian kerana beliau masih lagi dalam proses pemulihan.


Ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkata, tempoh masa yang singkat tidak cukup buat pemain tengah itu pulih sepenuhnya selepas menjalani proses pemulihan kecederaan paha di Jerman pada Julai lalu.


Bagaimanapun pemain muda seperti Abdul Halim Shaari yang diturunkan mengisi kekosongan posisi tersebut dilihat berjaya membantu pasukan selepas terikat 0-0 pada aksi pertama Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, kelmarin.


“Dalam masa singkat ini Liridon masih belum boleh main kerana masih lagi dalam proses pemulihan dan bagi perlawanan kedua bertemu JDT mungkin masih belum sempat untuk bermain,” katanya.


Mengenai beberapa lagi pemain importnya seperti Andik Vermansyah dan Paulo Rangel serta pemain tempatan, Syazwan Zainon yang diturunkan pada pertengahan perlawanan, Mohd Nidzam berkata, pemain tersebut masih lagi belum cergas sepenuhnya.


Jelasnya, Kedah perlu berjuang tanpa empat pemain utamanya iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Akhyar Rashid dan Ifwat Akmal Chek Kassim yang kini mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan bawah 23 tahun.


“Mereka ini sebenarnya juga masih belum cergas 100 peratus. Saya harap pada perlawanan kedua di Larkin mereka akan sumbang lebih dari apa yang ditunjukkan pada perlawanan ini (menentang Kelantan),” katanya.


Pada perlawanan tersebut, tuan rumah memperolehi peluang untuk berada di hadapan seawal minit pertama namun sepakan percuma Sandro Da Silva sedikit melepasi palang.


Pada minit ke-14, Kelantan mula mendapat rentak dan berpeluang berada di hadapan menerusi  lencongan cantik sepakan percuma Shafiq Shaharudin namun berjaya ditepis keluar penjaga gol Kedah, Ramadhan Hamid.


Lang Merah meneruskan asakan ke kubu The Red Warriors namun pelawat berjaya menyerap serangan dengan baik.


Kedah yang masih gagal memburu gol sehingga minit ke-42 melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Hidhir Idris dan membawa masuk Andik.


Pada separuh masa kedua, tuan rumah terus mempertajamkan jentera hadapannya dengan mengeluarkan dua pemain mudanya, Abdul Halim Shaari dan Fazrul Danel Mohd Nizam.


Mohd Nidzam Adzha Yusoff  membawa masuk Rangel dan Syazwan pada minit ke-62 dalam usaha memburu gol.


Pelawat memperolehi peluang terbaik pada minit ke-76 menerusi Christiano Marcolino namun percubaannya ditepis keluar Ramadhan.


Kedua-dua berbalas serangan namun keputusan 0-0 kekal hingga wisel penamat.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]