Mesyuarat Gabenor EMEAP bincang pergantungan ekonomi global

in Bisnes by


PENINGKATAN pergantungan antara ekonomi dunia dan kesannya kepada pelaksanaan dasar monetari adalah antara isu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Gabenor-Gabenor Eksekutif Bank Pusat Asia Timur-Pasifik (EMEAP) ke-23 di Manila, pada 4 Ogos lalu.


Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), mesyuarat itu turut membincangkan pengajaran daripada krisis kewangan global serta perkembangan terkini kaedah pengawasan dan aktiviti penyelidikan yang dikemukakan Jawatankuasa Kestabilan Monetari dan Kewangan.


“Menerusi perbincangan hal-hal ini, para gabenor menegaskan kepentingan EMEAP sebagai sebuah platform yang berkesan untuk berkongsi pengalaman dan menganjurkan dialog berhubung dasar,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.


Mesyuarat tahunan gabenor-gabenor EMEAP itu menyediakan platform pertukaran idea bagi ekonomi dan pembangunan kewangan di rantau ini, dihadiri 11 anggota bank pusat dan pihak berkuasa monetari.


Ia dipengerusikan Gabenor Nestor A. Espenilla, Jr daripada Bangko Sentral ng Pilipinas.


Mesyuarat Gabenor-Gabenor EMEAP ke-24 akan diadakan pada 2019. – Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]