Penduduk, NGO bantah projek PIL1

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk penduduk di Tanjung Bungah membantah cadangan projek lebuh raya Pan Island Link 1 (PIL1) yang akan dilaksanakan kerajaan negeri.


Masing-masing berhimpun menyatakan bantahan itu pada hari pertama Persidangan Dun berlangsung di pekarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kira-kira jam 9 pagi.


Difahamkan, bantahan itu dibuat atas faktor keselamatan awam serta pencemaran alam sekitar yang dikhuatiri boleh berlaku akibat daripada kesan kerja-kerja pembinaan jalan dan terowong nanti.


Mereka turut mendesak supaya kerajaan negeri dapat memberi perhatian serius dalam perkara itu dan bukan hanya memikirkan soal keuntungan sahaja.


Bekas Adun Batu Uban, Datuk Kee Phaik Cheen yang turut serta dalam demonstrasi turut meminta kerajaan negeri supaya lebih telus dalam projek tersebut.


Beliau mahu kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan memikirkan soal pembangunan yang betul dan bukan menjaga kepentingan pemaju tertentu.


“Kalau nak buat projek mega apa sekalipun, dengarlah pandangan daripada kami sebagai penduduk di situ terlebih dahulu.


“Jangan dengar cakap pemaju, dengar cakap kami. Kerana kamu nak untungkan pemaju, kamu mahu rosakkan seluruh Pulau Pinang? Tak boleh lah,” katanya.


Menurutnya, tidak sesuai untuk kerajaan negeri melaksanakan projek terowong bawah tanah di kawasan pulau.


Demonstrasi aman yang berlangsung hampir 30 minit itu kemudiannya disuraikan oleh pihak polis.


PIL1 merupakan sebahagian daripada rancangan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) untuk mengurangkan masalah kesesakan jalan raya khususnya di kawasan pulau.


Lebuh raya sepanjang 20 kilometer itu mampu menjadikan pintasan trafik dari utara ke selatan negeri ini hanya mengambil masa sekitar 15 minit sahaja.


Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi projek PIL1 ini turut dipamerkan kepada orang ramai di 10 lokasi terpilih sehingga 10 Ogos 2018.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]