Projek benteng tidak munasabah, membazir

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Komuniti nelayan di pantai Mengabang Telipot di sini, mendesak pihak berkenaan supaya mengkaji semula kedudukan benteng pemecah ombak di kawasan itu yang sedang dalam proses pembinaan ketika ini.


Ini kerana, kedudukan benteng itu tidak munasabah kerana bukan dibina di hadapan pangkalan, sebaliknya dibuat di bahagian tepi, sekali gus gagal menghalang hakisan daripada terus berlaku.


Ketua Komuniti Perikanan Mengabang Telipot, Abdullah Abd Ghani berkata, projek yang bermula sejak awal Julai lalu itu tetap diteruskan meskipun tidak dipersetujui ramai pihak.


Menurutnya, komuniti nelayan di situ tidak bersetuju kerana bukan sahaja kedudukan benteng tidak sesuai, malah bakal menjadi projek membazir.


“Bayangkan, benteng pemecah ombak yang seharusnya dibina di kawasan tengah untuk melindungi pangkalan ini, namun pihak berkenaan membuat benteng di bahagian tepi.


“Bagi kami ia merupakan pelaksanaan projek yang tidak munasabah dan membazir, sekali gus tidak dapat membantu golongan nelayan di sini,” katanya kepada Sinar Harian.


Abdullah berkata, pangkalan Kampung Tengah yang sudah berusia lebih 40 tahun turut menempatkan 25 bot nelayan dan sebuah bangunan untuk simpanan ikan, surau dan sebagainya dengan nilai keseluruhan harta benda berjumlah RM150,000.


“Pangkalan ini adalah laluan untuk nelayan mencari rezeki dan kawasan ini telah beberapa kali dilanda hakisan.


“Jadi, adalah wajar kami selaku nelayan di sini meminta agar pihak berkenaan mengkaji semula projek untuk rakyat ini,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]