Sikap punca isu sampah haram berulang

in Edisi Selangor KL by


KUALA SELANGOR – Masih ada segelintir individu yang mengambil jalan mudah membuang sampah di Jalan Tok Empat Yusof meskipun papan tanda larangan dipasang.


Unit Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menegaskan, hasil pemantauan mendapati kawasan bahu jalan itu masih menjadi hotspot sampah haram.


Menurut kenyataan itu, MDKS akan melakukan pemantauan secara berkala dan tindakan penguatkuasaan berterusan di kawasan tersebut menerusi penguatkuasa yang tidak berpakaian seragam.


“Jika tertangkap, kadar kompaun maksima sehingga RM1,000 dan apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-keduanya.


“Dan dalam hal sesuatu kesalahan yang berterusan, boleh dikenakan sebagai tambahan denda tidak melebihi RM200 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan,” katanya.


Merujuk kenyataan sama, MDKS mengambil maklum aduan penduduk mengenai isu pembuangan sampah haram di Jalan Tok Empat Yusof, Kampung Pasir Tuntong yang dilaporkan Sinar Harian pada 3 Ogos lalu.


“Untuk makluman, penyediaan tong sampah jenis ‘leach bin’ berkapasiti 1,500 liter sumbangan kerajaan negeri disalurkan ke kampung tersebut untuk pembuangan sampah domestik.


“Kerja kutipan sampah domestik secara berjadual oleh kontraktor sebanyak tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat.


“Namun demikian, kadar pembuangan sampah di kawasan tersebut melebihi kapasiti tong yang disediakan menyebabkan berlakunya limpahan sampah,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]