'Tiba-tiba rebah di mesin ATM'

in Edisi Utara by


JITRA – Ramai pelanggan di sebuah bank di sini terkejut apabila seorang lelaki tiba-tiba rebah ketika sedang menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di situ, pagi tadi.


Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan kira-kira jam 8.22 pagi.


Katanya, kurang dari lima minit pihak APM tiba di lokasi dan segera melakukan pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan.


“Bagaimanapun mangsa tidak memberi sebarang respon dan kami menyerahkan kes kepada Hospital Jitra untuk pemeriksaan lanjut sebaik sahaja ambulans tiba di lokasi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiada unsur jenayah mahu pun pihak lain yang terlibat dalam kejadian itu.


“Siasatan lanjut mendapati mangsa, Mohammad Nor Abu Seman, 53, yang berasal dari Kampung padang Asun, di sini memiliki kad rawatan sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.


“Punca kematian dipercayai akibat serangan darah tinggi dan jenazah mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Jitra.


“Kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]