Umpama hina pejuang negara!

in Edisi Utara by


GUAR CHEMPEDAK – Kekejaman Komunis sama sekali tidak patut diberi keampunan kerana pejuang terdahulu bukan sekadar bergadai peluh dan tenaga semata-mata sebaliknya berkorban darah dan air mata demi mempertahankan negara.


Presiden Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (Daulat),  Mohamad Shabudin Teh berkata, sekiranya keadaan ini benar berlaku ia umpama menghina golongan tentera yang telah berkorban nyawa mempertahankan keamanan negara suatu masa dahulu.


Katanya, sejarah jelas membuktikan bahawa Komunis merupakan golongan yang sangat kejam sehinggakan rakyat hidup dalam ketakutan.


“Saya tidak dapat menerima keputusan ini sekiranya perancangan kerajaan mahu mengiktiraf Komunis benar-benar terjadi,” katanya.


Menurut Mohamad Shabudin, sekiranya perkara ini berlaku ia akan mencetuskan kemarahan terutama kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga ketika berjuang menentang Komunis.


“Kenapa perlu memecah-belahkan sejarah yang sudah tertulis dan mahu memusingkan fakta yang benar, keadaan ini tak perlu berlaku,” tegasnya.


Mohamad Shabudin turut menggesa kerajaan untuk terus membendung isu ini bagi menjaga kedaulatan negara.


“Dari dulu lagi ada pihak yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengangkat Komunis sebagai hero.


“Jangan sampai kita bangsa Melayu hilang integriti dan maruah diri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Menurutnya, Komunis tidak sepatutnya diberi peluang atau keistimewaan sedangkan ramai antara pejuang yang cedera dan terkorban tidak mendapat pembelaan sewajarnya.


“Kerajaan seharusnya mengutamakan golongan pejuang ini kerana jasa mereka terlalu banyak sehingga tak mampu dibayar,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]