15 premis judi dipotong bekalan elektrik

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 15 premis di sekitar kawasan Nusa Bestari, Bukit Indah serta Mutiara Rini di sini, yang berselindung di sebalik kedai menjual kad tambah nilai dan aksesori telefon akhirnya terbongkar apabila dikesan menjalankan aktiviti perjudian atas talian.


Berikutan itu, kesemua bekalan elektrik premis berkenaan dipotong dalam satu operasi yang dinamakan Ops Pemotongan Bekalan Elektrik, hari ini.


Operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi tadi disertai tiga pegawai bersama enam anggota dari Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri dengan kerjasama kakitangan pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Johor Bahru.


Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Ismail Dollah berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya mengenal pasti premis tersebut melakukan aktiviti judi online hasil risikan dan siasatan pihaknya sejak beberapa bulan yang lalu.


“Selepas pihak kita melakukan risikan dan siasatan ke atas 15 premis ini, kesemua mereka menjalankan aktiviti judi atas talian dengan berselindung disebalik kedai menjual topup dan aksesori telefon.


“Oleh itu, pihak kita telah menghantar surat kepada pihak TNB supaya bekalan elektrik ke atas premis berkenaan dipotong bagi memastikan aktiviti judi atas talian ini tidak berulang,” katanya semasa operasi berkenaan di sini, hari ini.


Ismail berkata, tindakan ke atas semua premis terbabit merupakan operasi kali pertama pada tahun ini dan diambil tindakan mengikut peruntukan Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


Sementara itu, beliau berkata, sepanjang Januari hingga Julai lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah menjalankan 71 serbuan bagi membanteras aktiviti perjudian di sekitar daerah ini.


“Dalam tempoh berkenaan, seramai 533 individu termasuk 58 warga asing yang berusia antara 17 hingga 60 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.


“Selain itu, wang tunai berjumlah RM31,000 serta Singapura Dollar 300 turut dirampas.


“Sebanyak 1,360 peralatan termasuk komputer, komputer riba dan tab telah dilupuskan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]