Adi Putra mahu berunding dengan kerajaan baharu

in Nasional by


GUA MUSANG – Genius matematik, Adi Putra Abd Ghani, 19, mengharapkan kerjasama kerajaan baharu dalam memperkasakan lagi sistem pendidikan negara.


Dakwanya, dalam tempoh 13 tahun, kerajaan terdahulu enggan menerima dan mengiktiraf kebolehannya yang menganggap ia hanyalah kes terpencil.


Menurutnya, sehingga kini bukunya yang menjadi rujukan pelajar sekolah rendah dan menengah di Brunei Darussalam, tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia walaupun ia memberi alternatif untuk memudahkan pelajar.


“Sudah 13 tahun saya menunggu untuk membantu menyumbangkan kebolehan ini kepada sistem pendidikan negara, namun saya hanya dianggap sebagai kanak-kanak yang bijak sedikit dalam matematik dan kes terpencil.


“Sepanjang saya memperkenalkan formula itu, saya mendapat tawaran daripada Moscow, Australia, United Kingdom, Qatar dan Oxford, namun saya terkilan kerana dipinggirkan di negara sendiri.


“Di bawah kepimpinan kerajaan baharu, saya harap ruang dan peluang itu ada dan insya-ALLAH, saya akan berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.


Adi berkata demikian selepas menjayakan Program Motivasi, Saya Suka Matematik di Dewan Serbaguna Felda Chiku 1, anjuran WSZ Management & Resources.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]