DAP, jangan jadi seperti kura-kura: Wanita Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – DAP disaran tidak menjadi seperti kura-kura dengan menafikan penglibatan parti itu berhubung dakwaan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) berkomplot dengan pembangkang sejak 2002 bagi menumbangkan BN pada PRU14 lalu.


Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pendedahan Daniel Twining, anggota Centre for Strategic International Studies Amerika Syarikat (CSIS) yang mengakui berkomplot dengan pembangkang merupakan perkara yang amat serius.


Soalnya, mengapa sehingga hari ini kepimpinan DAP masih lagi mengambil sikap berdiam diri daripada memberikan sebarang penjelasan atau membuat penafian kepada rakyat berhubung pendedahan Twining itu.


“DAP dan konco-konconya jangan seperti ‘kura-kura yang menyorok kepalanya di dalam cengkerang’ untuk menjawab pendedahan Twining.


“Pengakuan Twining ini merupakan perkara yang amat serius dan sudah sepatutnya menjadi perdebatan atau perbahasan hangat dalam sidang Dewan Rakyat ketika ini kerana membabitkan campur tangan asing untuk menggulingkan kerajaan demokrasi di Malaysia,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.


Baru-baru ini, Twinning yang merupakan Presiden IRI dalam satu forum anjuran Center for Strategic & International Studies mendedahkan bahawa AS mendapat manfaat daripada pembentukan kerajaan baharu di bawah PH.


Mengulas lanjut, Noraini berkata, disebabkan itu Wanita Umno kesal dengan tindakan membisu DAP untuk merungkai persoalan campur tangan asing dalam sistem demokrasi di negara ini, biarpun Twining telah mendedahkannya.


“Campur tangan kuasa asing terhadap negara ini, apatah lagi menerusi pembiayaan dana tidak boleh dibiarkan kerana selain kedaulatan negara terancam, ia berupaya menaikkan atau menjatuhkan kepimpinan kerajaan termasuklah yang diterajui oleh gabungan PH hari ini,” katanya.


Beliau berkata, kegagalan DAP untuk menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadap parti itu termasuk kenyataan Twining akan menyebabkan persoalan tentang perkara ini masih tidak terjawab, sekali gus dikhuatiri menimbulkan rasa syak wasangka rakyat terhadap kejujuran DAP.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]