Festival Kesenian Perak bakal jadi acara tahunan

in Edisi by


IPOH – Festival Kesenian Perak anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak akan dijadikan acara tahunan mulai tahun depan.


Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Tan Kar Hing berkata festival julung kali diadakan tahun ini, bertujuan menyatukan masyarakat pelbagai bangsa menerusi kebudayaan dan kesenian yang terdapat di Perak.


Beliau berkata festival itu turut mengangkat martabat ikon seni di negeri ini seperti Rebana Perak, Busana Puteri Limau Purut dan tarian dabus selain mengetengahkan pelbagai makanan tradisional antaranya bubur anak lebah.


“Festival ini menampilkan pelbagai keunikan produk pelancongan yang ada di Perak seterusnya mampu memberi impak positif dari sektor pelancongan.


“Acara ini turut memperlihatkan usaha memupuk, mengukuhkan, memelihara dan mengekalkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat tempatan khususnya generasi muda melalui medium seni budaya,” katanya ketika berucap merasmikan festival berkenaan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini, baru-baru ini.


Kar Hing berkata festival berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Tourism Perak, Koloni Karyawan Amanjaya (PORT), Majlis Bandaraya Ipoh serta pertubuhan bukan kerajaan dan pengusaha seni budaya.


Pelbagai pengisian dan program menarik diadakan sepanjang tiga hari festival yang bermula semalam antaranya beberapa pertandingan seperti Rebana Perak, permainan tradisional, sukan rakyat, peragaan busana tradisional, makan buah durian terbanyak serta ‘Battle of Joget Perak’.


Selain itu, pelbagai persembahan seni, pameran dan perkhidmatan, demonstrasi masakan, gerai jualan, permainan kanak-kanak serta program interaktif juga diadakan dari 8 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang festival itu berlangsung. – Bernama

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]