Irda kerjasama dengan 4 syarikat

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoU) bersama sebuah jabatan kerajaan dan tiga syarikat swasta sebagai usaha memperkasa agenda Bandar Pintar Wilayah Iskandar.


Kerjasama perkongsian data dan informasi pembangunan itu melibatkan syarikat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH); iProperty.com.my; Nextdor Property Communications dan REI Group.


Ketua Eksekutif Irda, Datuk Ismail Ibrahim berkata, usahasama terbabit akan memberi fokus kepada pengumpulan data untuk perancangan pembangunan masa hadapan Wilayah Iskandar Malaysia membabitkan sosio ekonomi dan hartanah.


Menurutnya, Irda juga akan bertindak sebagai pengkalan data yang menerima maklumat sekali gus membolehkan perancangan masa hadapan dibuat dengan lebih berkesan.


“Pembangunan yang terancang dengan konsep bandar pintar perlu dilakukan dengan maklumat yang tepat. Kita melihat semua data ini daripada dua sudut yang mana satu pihak akan memastikan ia berpusat.


“Ini penting yang mana jika semua data ini berada dalam keadaan yang berselerak, semangat kolaborasi ini tidak akan terjadi dan kita yang terlibat dalam membuat keputusan ini susah untuk berjaya.


“Jadi dalam konteks ini Irda akan memainkan peranan sebagai agensi yang merupakan pengkalan data dan maklumat ini berpusat. Kita juga memerlukan sumber yang diperakui kerana dengan itu baru maklumat itu sahih,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani MoU Kerjasama Jangkaan Hartanah Pemantauan Perbandaran (UOPF) Iskandar Malaysia, di sini, hari ini.


Turut hadir menandatangani MoU, Pengarah Urusan iproperty.com.my, David Mawer; Pengarah Urusan Nextdor Property Sdn Bhd, Imran Clyde dan Ketua Pengarah Jabatan Pernilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia, Nordin Daharom.


Ismail berkata, perkongsian maklumat itu juga dilihat merupakan sesuatu yang mustahak serta memerlukan kualiti agar setiap pembangunan dilakukan tidak tersasar serta gagal memenuhi keperluan sewajarnya di kawasan itu.


“Kita mahu setiap perancangan itu tidak berlaku masalah kerana semuanya sudah diteliti terlebih dahulu. Kalau kita hanya berpegang kepada satu saluran sahaja, misalnya di Irda ia memang tidak mencukupi.


“Sebagai contoh, keperluan dan pasaran hartanah perlu dinilai dengan diperiksa dengan tepat agar memastikan ia sesuai dengan populasi penduduk yang semakin meningkat di Wilayah Iskandar,” katanya.


Dalam masa sama, katanya, pengumpulan data bukan saja untuk menyediakan rumah mengikut keperluan semasa, malah sebagai contoh mengatasi masalah biasa sepertu kesesakan lalu lintas.


Sebagai contoh, katanya, data tepat sepanjang tahun membolehkan mereka mengenal pasti trend pengguna dan cuba menyelesaikan kesesakan lalu lintas.


“Semua data itu akan dikongsi menerusi aplikasi UOPF di mana orang ramai boleh melihat dan memilih jalan yang lebih sesuai,” ujarnya.




 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]