Jalan gelap, haiwan berkeliaran punca nahas

in Edisi Johor by


LABIS – Keadaan jalan gelap serta banyak haiwan seperti anjing liar dan lembu berkeliaran pada waktu malam, didakwa menjadi punca kemalangan maut di Jalan Labis-Muar berhampiran Perumahan Awam Labis, di sini.


Mohd Hafiz Md Top, 57, berkata, dia yang tinggal di Perumahan Awam Labis mengakui sering berlaku kemalangan di laluan sejauh kira-kira lima kilometer dari Labis ke perumahannya melibatkan haiwan berkeliaran di waktu malam.


“Kejadian terbaru berlaku beberapa minggu lalu melibatkan empat remaja dengan dua daripadanya maut di tempat kejadian sementara dua lagi parah selepas motosikal ditunggang mereka terlanggar lembu sedang tidur di tengah jalan.


“Kita tidak mahu perkara sama berulang dan yang paling dibimbangi adalah keadaan tersebut mampu mengundang padah kepada orang luar yang sekali-sekala melalui jalan tersebut pada waktu malam,” katanya.


Dia berharap pihak berwajib memasang lampu jalan serta mengesan dan ambil tindakan terhadap pemilik haiwan yang berkeliaran itu.


Bagi Jaafar Hussin, 64, dia pernah beberapa kali mengalami detik cemas ketika terserempak anjing liar dan lembu berkeliaran pada waktu malam.


“Pengguna yang biasa lalu jalan itu mungkin lebih berhati-hati, tapi bagi mereka yang jarang guna mungkin  beranggapan ia selamat.


“Tambahan pula, keadaan  jalan ini  lurus menyebabkanada dengan laju,” katanya.


Selamat Latif, 57, berkata, dia sering melalui jalan tersebut pada waktu malam  untuk pulang ke Muar dan mengakui risiko nahas melibatkan haiwan liar boleh dielak jika dipasang lampu jalan.


“Selain haiwan liar, salah satu punca nahas disebabkan pokok tumbang dan dah beberapa kali kemalangan maut sebab pokok merentangi jalan di waktu malam,” katanya.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]