Kapal 'Equanimity' dirampas ikut undang-undang

in Nasional by


PUTRAJAYA – “Kapal layar mewah ‘Equanimity’, yang dilaporkan secara meluas adalah milik ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low,  dirampas mengikut prosedur betul di bawah undang-undang Malaysia,” kata Peguam Negara Tommy Thomas.


Beliau berkata Jabatan Peguam Negara telah mengguna pakai bidang kuasa Admiralti Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap ‘Equanimity’ semalam (6 Ogos).


“Mahkamah telah mengeluarkan Waran Tangkap terhadapnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Kapal mewah ‘Equanimity’ tiba di perairan Malaysia hari ini dan sedang berlabuh di Pelabuhan Klang.


Menurut Thomas,  kapal mewah itu dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari susulan permohonan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.


“Rampasan itu dibuat atas inisiatif  DOJ, yang menegaskan pemilikan kapal mewah itu bagi pihak Malaysia dan 1MDB (1Malaysia Development Bhd) kerana wang milik kita yang telah digunakan untuk membelinya,” katanya.


Thomas berkata hasil daripada Perjanjian Bersama Bantuan Perundangan (MLA) antara Indonesia, Amerika Syarikat dan Malaysia yang diaktifkan baru-baru ini, rundingan sensitif dan rumit dilakukan di peringkat tertinggi agensi berbeza di tiga negara untuk mencapai kejayaan itu.


Antara agensi Malaysia yang terlibat dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara, katanya.


“Kami ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat, terutamanya Polis Republik Indonesia (POLRI) yang memberikan kerjasama dan usaha sama untuk membolehkan ini dijayakan,” katanya.


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut berterima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan kerajaan Indonesia dalam membantu menyerahkan kepada Malaysia kapal ‘Equanimity’, yang dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia.


Dalam klip video itu, Dr Mahathir  berkata sekiranya ada mana-mana pihak yang mendakwa kapal layar mewah itu adalah milik mereka, mereka perlu menunjukkkan bukti ke atas dakwaan mereka.


Pada April lalu, mahkamah Indonesia memutuskan kapal layar itu tidak wajar dirampas dan seharusnya dikembalikan kepada pemilik asalnya. Bagaimanapun kerajaan Indonesia sekali lagi merampas kapal itu pada Julai.


Pada Sabtu lepas, kerajaan Indonesia bersetuju untuk menyerahkan kapal tersebut kepada Malaysia. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]