Kuasa RPM!

in Bisnes by


SEJAK dilancarkan pada Jun 2018, program Roket Pemasaran Momentum (RPM) berjaya membantu lebih 4,000 usahawan dari seluruh negara.


Ketua Pegawai Eksekutif, Momentum Internet Sdn Bhd, Najib Asaddok berkata, RPM merupakan program yang dilancarkan khusus untuk membantu usahawan menambah dan menarik lebih ramai pelanggan secara atas talian.


“Hari ini pengguna Facebook di Malaysia sahaja mencecah 24 juta orang dan angka ini semakin meningkat dan potensi untuk mencatat jualan melalui atas talian sangat besar.


“Amat rugi jika usahawan tidak menggunakan peluang ini untuk menarik lebih ramai pelanggan mereka. Kerana itu di RPM, kami memberi penekanan terhadap tiga perkara utama dalam pemasaran internet iaitu, bagaimana menarik trafik (pelanggan) dan menjadikan mereka pelanggan dan setia menggunakan produk kita,” katanya.


Tambah Najib, ketiga-tiga perkara ini memerlukan seorang usahawan itu mempunyai pengetahuan, strategi dan ilmu teknikal atas talian, supaya mereka boleh melayan lebih ramai pelanggan, membuat susulan seterusnya meningkatkan dan meroketkan jualan mereka.


“Pada program RPM ini juga kami mengajar bagaimana menggunakan ‘tool’ seperti Facebook Messenger untuk mendapatkan pangkalan data seperti emel dan Facebook pelanggan.


“Pemasaran emel masih relevan. Usahawan boleh menggunakan kaedah ini untuk pelanggan yang sudah membeli produk supaya mereka akan terus membeli berulang kali,” katanya.


Katanya, hasil kaji selidik yang dijalankan sebelum program bermula, didapati 84 peratus peserta yang hadir RPM, membuat jualan bawah RM10,000 sebulan dan tiada peningkatan jualan.


“Dalam program ini, peserta diajar perkara yang betul dan silap. Kesilapan yang bagaimana membuat jualan tidak meningkatkan. Kenapa status jualan di laman sosial tidak mendapat sambutan. Apa puncanya.


“Kebanyakan pengusaha produk ini, mereka tidak faham tentang teknikal kerana bukan orang IT. Jadi di RPM mereka di ajar agar lebih senang faham dan paling penting konsisten melakukannya, InsyaALLAH akan mendapat hasil pulangan yang tinggi,” katanya.


Sementara itu, pada program tersebut, Najib turut melancarkan dua buah bukunya iaitu, ‘33 Benda Saya Nak Cakap’ dan ‘Roket Pemasaran Momentum’ iaitu fokus mengenal pelanggan digital.


Bagi sesi ketiga RPM seterusnya, dijangka akan diadakan awal November depan dan Najib menyasarkan untuk menaja lebih 5,000 peserta pada program yang bakal di adakan di Shah Alam dan Johor Bahru.


RPM yang diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam menghimpunkan seramai 3,200 peserta dari seluruh negara ditaja oleh Telekom Malaysia dan senangpay.my.Sinar Harian • Selasa 7 Ogos 201843


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]