Lupus sampah: Tempat tak sesuai!

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Kelicap di Minyak Beku, Batu Pahat mahu kerajaan negeri tutup tapak pelupusan sisa pepejal berdekatan dengan kediaman mereka.


Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim berkata, tapak pelupusan tersebut tidak bersesuaian beroperasi di kawasan berkenaan.


Katanya, beliau sendiri telah turun padang bagi mendengar serta melihat sendiri keluhan orang kampung berkenaan isu tersebut.


“Tapak pelupusan asal telah beroperasi sekitar 10 tahun yang lalu dan ia mengundang kemarahan penduduk kampung kerana pencemaran bau serta debu, sekali gus menyebabkan penduduk kampung kurang selesa


“Rumah yang paling hampir dengan tapak pelupusan tersebut kira-kira sekitar 20 hingga 30 meter dari tapak pelupusan itu,” katanya kepada Sinar Harian.


Khairuddin berkata, tapak pelupusan tersebut pada asalnya adalah kawasan pelombongan pasir.


“Tapak pelupusan pertama dibuka 10 tahun lepas tetapi telah ditutup. Kemudian, tapak kedua telah dibuka berdekatan dengan tapak pertama dan aktif beroperasi sejak tiga tahun kebelakangan ini.


“Kami dikhabarkan ada ura-ura tapak baharu juga akan dibuka. Oleh itu, kami telah bertemu serta berdialog dengan penduduk kampung mengenai isu tapak pelupusan tersebut,” katanya.


Jelasnya, pihaknya juga telah laporkan perkara ini kepada Pegawai Pentadbir Tanah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).


“Pegawai Pentadbir Tanah maklumkan akan mengambil tindakan serta memberi notis kepada pemilik tanah selama tujuh hari untuk menutup tapak tersebut dari beroperasi.


“Manakala Pengarah JAS pula memaklumkan mereka akan memantau serta mengambil tindakan ke atas tapak pelupusan tersebut,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, beliau juga akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mencari langkah penyelesaian masalah ini.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]