Masihkah BN/Umno ada taring?

in Politik by


RAMAI yang macam sudah boleh meramalkan bahawa PKR yang mewakili Pakatan Harapan akan menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Selangor Sabtu lalu, tetapi tidak ramai yang menjangkakan majoriti akan turun begitu rendah.


Jawapannya berbagai. Ada yang kata ia sebagai membuktikan pengaruh PH sudah mula menurun di kalangan pengundi kerana tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan sejak mengambil alih kuasa pada 9 Mei lalu.


Ada yang kata kekuatan BN, khususnya Umno, sudah mula meningkat kembali, tetapi ada yang berkata ia menggambarkan sikap tidak peduli dalam kalangan pengundi yang sudah letih dan bosan dengan perkembangan politik dalam negara.


Ada juga yang percaya ketiadaan calon dan penyokong Pas menjadi antara penyumbang utama penurunan peratusan pengundi keluar membuang undi di Sungai Kandis.


Ini antara reaksi pengundi di Dun berkenaan ketika tinjauan media, selain beberapa faktor lain yang menyebabkan penurunan peratus seperti PRK diadakan terlalu dekat dengan tarikh PRU14 lalu.


Barangkali yang agak lebih logik dan boleh diyakini adalah pandangan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bahawa kekurangan majoriti di PRK Sungai Kandis jelas disebabkan peratusan pengundi yang rendah dan PRK diadakan hari Sabtu.


Juga ada kebenaran juga bahawa peratusan yang rendah itu disebabkan kurang rasa terdesak atau terpanggil untuk mengundi bagi menentukan kerajaan yang akan mentadbir kali ini.


Ia sangat berbeza dengan PRU14 tiga bulan lalu di mana peratusan pengundi yang turun agak tinggi kerana rakyat mahu berperanan untuk menentukan kerajaan yang mereka ingini.


Menurut Amirudin, mengadakan PRK Sungai Kandis pada hari Sabtu menghalang mereka yang bekerja untuk balik untuk membuang undi.


Pada masa yang sama, peratusan majoriti PKR Sungai Kandis diramalkan meningkat sekiranya mereka yang keluar mengundi lebih ramai.


Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya 49.4 peratus daripada 51,230 pengundi kawasan Dun Sungai Kandis keluar mengundi.


Perlu disebut bahawa BN pula menyifatkan keputusan PRK Sungai Kandis sebagai isyarat yang baik untuk bekas parti memerintah itu.


Timbalan Pengerusi BN, yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini berdasarkan kepada jumlah undi yang diterima parti itu dalam PRK kali ini tidak jauh berbeza daripada yang dicatatkan pada PRU14.


“Saya menjangkakan kita kalah teruk malam ini namun perolehan undi itu membuktikan kita mendapat 75 peratus daripada lebih 11,000 yang diperoleh semasa PRU-14 lalu.


“Keputusan itu lebih baik daripada PH yang saya jangka mendapat 18,000 undi namun hanya memperoleh lebih 15,000 undi,” katanya pada malam keputusan PRK Sungai Kandis diumumkan.


Mohamad, seperti juga pandangan beberapa pemimpin politik, berpendapat peratusan rendah jumlah pengundi yang keluar turut memperlihatkan sikap protes rakyat terhadap kerajaan PH yang didakwa gagal menunaikan janji manifesto PRU14, walaupun kerajaan PH berulang kali mengingatkan bahawa pentadbirannya belum mencapai 100 hari.


Calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi, mengalahkan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, K Murthy.


Pada PRU14, Mat Shuhaimi Shafiei, bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang meninggal akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu, mengekalkan kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai Dun Sri Muda untuk penggal ketiga dengan majoriti 12,480 undi.


Allahyarham meraih 23,998 undi, mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN) yang mendapat 11,518 undi, Mohd Yusof Abdullah (Pas) yang menerima 7,573 undi dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) mendapat 76 undi.


Pemimpin BN mendakwa keputusan PRK Sungai Kandis menunjukkan BN masih relevan di mata rakyat.


“Pembangkang masih diperlukan untuk membawa suara rakyat,” kata Mohamad.


Sama ada keputusan PRK Sungai Kandis ini membuktikan PH terus diterima sebagai kerajaan baharu, atau BN dan Pas masih mempunyai taring akan menjadi lebih jelas dengan keputusan PRK Balakong yang dijadualkan pada 8 September dan Seri Setia, kedua-duanya di Selangor.


BN dijangka meletakkan wakil MCA sebagai calon PRK Balakong, sementara untuk PRK Seri Setia, BN sudah menyuarakan kesediaan memberi laluan kepada wakil Pas, sebagai titik permulaan dan persefahaman antara BN dan Pas.


Kerusi Balakong kosong berikutan kematian Ng Tien Chee (PH) dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai, sementara Adun Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin (PH), meninggal akibat barah Khamis lalu.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]