Nilai had jualan tahunan naik RM500,000 di bawah SST

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meningkatkan nilai had jualan tahunan bagi pendaftaran Cukai Jualan kepada RM500,000 setahun di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berbanding RM100,000 sebelum ini.


Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penambahbaikan kepada nilai had RM500,000 itu turut terpakai bagi pengilang yang membuat aktiviti sub pengilangan yang dahulunya dikenakan nilai had pendaftaran sebanyak RM20,000.


“Ini membolehkan pengilang kecil beroperasi tanpa dikenakan cukai ini,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.


Katanya kerajaan menjangka hanya sebanyak 27,456 pengilang perlu berdaftar di bawah Cukai Jualan berbanding 32,725 pengilang di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).


Sehubungan itu, katanya sebahagian besar pengilang akan terkeluar daripada skop Cukai Jualan dan ini akan mengurangkan kos pematuhan dan pentadbiran cukai kepada pengilang yang bersaiz kecil.


Guan Eng berkata kemudahan input bebas cukai akan terus diberikan kepada pengilang sepertimana pelaksanaan Cukai Jualan terdahulu melalui pengecualian cukai.


“Pengecualian cukai akan diberikan ke atas pembelian bahan mentah, komponen, bahan pembungkusan dan alat bantu pembuatan yang diimport atau yang dibeli daripada pengilang berdaftar,” katanya.


Sementara itu, Guan Eng berkata pelaksanaan SST akan meningkatkan kuasa membeli pengguna.


Katanya jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai di bawah SST jauh lebih rendah daripada jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai di bawah GST.


“Cukai SST hanya merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan dan perkhidmatan Indeks Harga Pengguna (IHP).


“Ini jauh lebih rendah daripada jumlah barangan dan perkhidmatan IHP yang dikenakan GST, iaitu 60 peratus,” katanya.


Mengenai subkomponen IHP membabitkan pembekalan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api, Lim berkata hanya 28 peratus daripada barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai di bawah SST, manakala 59 peratus daripada barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai GST.


Jika SST tidak diluluskan, katanya kerajaan akan kehilangan RM4 bilion daripada jangkaan kutipan dan baki semasa akan berada dalam keadaan defisit.


“Defisit baki semasa bermakna hasil Kerajaan Persekutuan tidak mencukupi untuk menampung kos pengurusan yang akan menjejaskan kredibiliti ekonomi Malaysia di mata dunia, termasuklah agensi penarafan antarabangsa,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]