PBJ Tanah Merah desak buat EGM

in Sukan by


KETIKA Bibi Ramjani Ilias Khan bertegas tidak akan tunduk kepada desakan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), ahli gabungan mereka, Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah pula tampak melawan arus apabila mendesak Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan bagi menyelamatkan masa depan badan induk tersebut.


Presidennya, Kamarudin Mohamad berkata, exco Kafa perlu memanggil kongres khas itu bagi membolehkan PBJ selaku pemegang taruh memilih kepimpinan baharu setelah barisan pentadbiran sekarang gagal mengendalikan tadbir urus Kafa dengan baik.


Menurutnya, peletakan jawatan dua naib presiden disusuli Setiausaha Agung baru-baru ini membuktikan masalah dalaman yang membelenggu persatuan itu berada di tahap meruncingkan.


“Saya cadangkan kepada semua rakan PBJ kemukakan usul buat EGM kepada exco Kafa untuk pilih pengurusan yang baru. Serah kepada mereka buat perubahan, maknanya serah semula kepada PBJ untuk tentukan nasib Kafa.  


“Perlu diadakan EGM untuk perbetulkan kerosakan yang berlaku dalam bola sepak Kelantan. Terlalu banyak kepincangan dalam Kafa sekarang disebabkan mereka tidak dengar pandangan orang berpengalaman,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Menurutnya, gesaan supaya EGM itu diadakan bukan di atas kepentingan peribadi sebaliknya demi kemajuan bola sepak Kelantan terutamanya peminat yang begitu kecewa melihat Kafa semakin undur ke belakang selepas diterajui kepimpinan baharu.


“Bagi saya kalau dibiarkan berterusan macam ini pasukan Kelantan akan menjadi lebih parah. Sekarang pun kita dah masuk ke Liga Perdana, takut-takut nanti turun lagi ke Liga FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).


“Jadi berilah kepada orang yang betul-betul minat dan berkemampuan untuk mentadbir Kafa. Saya lihat bila kejatuhan bola sepak Kelantan di bawah Tan Sri Annuar Musa, kita anggap boleh berubahlah di bawah rejim baru namun ia tidak berlaku,” katanya.


Tambahnya, kegagalan Bibi Ramjani menunaikan janjinya seperti terkandung dalam manifesto turut menyebabkan pihaknya kecewa dengan kemelut yang melanda bola sepak Kelantan ketika ini.


“Selepas setahun Bibi menang, tak pernah pun panggil kami sedangkan dia berjanji nak beri RM30,000 untuk menggerakkan bola sepak di peringkat daerah tetapi hanya beberapa PBJ sahaja yang dapat.  


“Kita ni sebagai peminat nak tengok Kelantan berjaya tetapi dah dekat setahun pentadbiran nampak semakin merosot. Sesuatu harus dilakukan untuk selamatkan bola sepak Kelantan,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]