Pengalaman Azmin beri kelebihan tewaskan Rafizi

in Politik by


SHAH ALAM – Tempoh masa yang agak lama dalam PKR antara kelebihan yang ada pada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk untuk menewaskan Rafizi Ramli dalam Pemilihan PKR 2018.


Penganalisis Politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kebanyakan pemerhati melihat ia sebagai pertemuan dua kem namun ia dilihat lebih besar berdasarkan pencapaian terdahulu Azmin.


Menurutnya, berkemungkinan dalam parti menganggap ia hanya pertandingan biasa.


“Apabila sebut kem seolah-olah wujud ketiadaan konsensus dalam PKR, saya rasa tidak dan majoriti ahli PKR tidak mahu berlaku dua kem yang bergeser antara satu sama lain.


“Namun oleh kerana pemilihan membenarkan pertandingan, persepsi kem tidak boleh dielakkan,” katanya kepada Sinar Harian.


Nik Ahmad Kamal berkata, beliau melihat Azmin mempunyai pengalaman yang luas kerana beliau pernah menjadi menteri besar, dan hari ini menjadi menteri.


Katanya lagi, dari segi reputasi dan sokongan majoriti dalam PKR amat jelas dan percaya pertandingan kali ini sangat sengit lebih-lebih lagi faktor kem yang lebih rapat dengan pimipinan juga sering menjadi kelebihan.


“Manakala Rafizi adalah seorang pemimpin yang penuh potensi di mana beliau mempunyai karisma dan kebolehan besar.


 “Idea dan misinya menarik mereka di atas pagar dalam PKR dan itu adalah kelebihannya untuk mendapat sokongan orang muda dalam PKR,” katanya.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Azmin pertahan jawatan, bersaing dengan Rafizi ]


Sebelum ini, Mohamed Azmin mengesahkan untuk mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan kali ini.


Borang pencalonannya diserahkan oleh wakilnya iaitu calon Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham dan calon ahli Majlis Pimpinan Pusat, Amirudin Shari.


Penyerahan borang pencalonan tersebut juga menamatkan spekulasi mengenai jawatan yang akan ditandingi oleh Mohamed Azmin sebelum ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]