Perjumpaan dengan MPK capai kata sepakat

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Perjumpaan wakil rakyat dan penduduk Kuantan bersama wakil Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mencapai kata sepakat dalam beberapa isu, petang tadi.


Adun Teruntum, Sim Chon Siang berkata antara isu yang akan diberikan perhatian segera ialah berkenan pokok mati, aduan peniaga peniaga Teluk Cempedak, Pasar Pagi Kampung Jawa, cukai pintu di Kompleks Teruntum,  penyelenggaraan longkang, besi penutup jalan, bonggol tidak siap, kebersihan rumah dan kos lesen perdagangan dalam bandar yang tinggi.


Menurutnya, beberapa isu lain memerlukan pihak MPK membuat pemeriksaan, pemantauan dan kajian seperti masalah cukai dan perbandingan cukai pintu di Kompleks Teruntum dan Kuantan Parade, permohonan peniaga Teluk Cempedak untuk berpindah lokasi, isu peniaga haram yang menjejaskan peniaga berlesen serta aduan pokok yang perlu dicantas.


“Saya amat berpuas hati dengan perjumpaan hari ini di mana pihak MPK membuka pintu untuk perbincangan bersama pengadu-pengadu yang turut hadir bersama dalam sesi.


“Perkara ini adalah lebih bersepadu dan efektif kerana pengadu dapat duduk semeja berbincang dan meluahkan secara terus permasalahan mereka.

Peniaga Teluk Cempedak turut hadir mengadu permasalahan mereka berhubung tapak niaga baharu yang tidak memberikan pulangan modal.


“Umpamanya seperti kes peniaga peniaga di Teluk Cempedak. Mereka dipindahkan berniaga ke lokasi baru yang tidak memberi pulangan kepada mereka. Apabila mereka berniaga di bahagian hadapan, mereka kena saman dan kena rampas sedangkan di belakang mereka tak dapat cari makan. Mereka tak boleh lawan penguasa jadi saya bawa mereka ke sini dan beri peluang mereka bercakap,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan tersebut, di Menara MPK Jalan Tanah Putih di sini, hari ini.


Beliau berharap pengadu yang dibawa pada sesi tersebut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan pihak MPK, manakala pengadu yang kesnya memerlukan masa dan tinjauan pihak MPK, agar bersabar.


Katanya, pihak Pejabat Adun Teruntum akan mengambil maklum balas bagi memastikan perkara yang dibincangkan diambil tindakan.


“Kita akan pastikan setiap permasalahan mencapai kata putus. Ada yang selesai hari ini dan ada yang perlukan masa,” katanya


Sebanyak 30 soalan dan kes telah dimajukan pada sesi tersebut yang dihadiri lebih 50 pengadu dan hampir 30 pegawai dan kakitangan daripada MPK di jabatan berkaitan.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]