Pesta Padi Antarabangsa di Kampung Terus

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Kawasan Kampung Terus di Penanti bakal menjadi tumpuan orang ramai apabila akan berlangsungnya Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang pada 11 dan 12 Ogos depan.


Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin berkata, program yang julung kali diadakan itu mengangkat tema Padiku, Warisanku akan menjadikan Kampung Terus menjadi salah satu produk pelancongan di negeri ini.


Menurutnya, Kampung Terus adalah salah satu kawasan penanaman padi terawal dan tertua di negeri ini dan nilai warisan ini perlu dikekalkan.


“Tujuan utama festival ini diadakan sebagai usaha untuk mempromosikan agro pelancongan padi dan usaha menaiktaraf ekonomi pesawah dan yang juga nelayan sungai supaya tanah-tanah sawah padi di Pulau Pinang dikekalkan terutama di kampung-kampung sekitar Kampung Terus.


“Di sini adalah tanah warisan penanaman padi pertama di Seberang Perai untuk jaminan makanan dan warisan Pulau Pinang,” katanya pada sidang media di sini semalam.


Turut hadir, Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin.


Dr Norlela berkata, sepanjang dua hari festival berkenaan pelbagai aktiviti menarik yang akan disediakan kepada orang ramai seperti pameran replika peladang, pertandingan bola sepak bendang, pertandingan layang-layang, persembahan kebudayaan, pertandingan menangkap ikan dan banyak lagi.


Orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai festival berkenaan boleh mengunjungi Penang Paddy Festival 2018.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]