Piala Presiden: Kedah bangkit penghujung perlawanan

in Sukan by


ALOR SETAR – Dua gol pada penghujung perlawanan suku akhir pertama Piala Presiden menyelamatkan Kedah dari berputih mata apabila mengatasi PKNP FC 1-2 di Ipoh, petang kelmarin.


Jaringan Hasri Firzan minit ke-85 dan Mohamad Fayadh minit ke-89 memadamkan kelebihan dimiliki tuan rumah selepas menjaringkan gol pada separuh masa pertama menerusi Alif Safwan minit ke-11.


Menurut pemangku Pengurus Piala Presiden Kedah, Amirul Nidzam Mahadzir, bekalan satu gol perlu dimanfaatkan sebaik mungkin pada aksi timbal balik kedua di Stadium Darul Aman, Jumaat ini.


“Alhamdulillah, pujian harus diberi kepada semua pemain dan termasuk pertukaran pemain yang masuk dapat mengikut arahan diberikan ketua jurulatih, Victor Andrag. Cuma kelalaian awal minit memberikan gol kepada lawan perlu diperbaiki untuk perlawanan timbal balik kedua nanti,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.


 

Hasri Firzan (kiri) pemain skuad Piala Belia menjaringkan gol pertama beliau bersama Piala Presiden Kedah pada perlawanan berkenaan. Foto: Nazim Amzed/Piala Presiden Kedah


 


Amirul Nizam berkata, Kedah memberikan bola mudah kepada lawan dan membenarkan PKNP mendapat beberapa set piece seperti sepakan percuma dan lontaran jauh di depan pintu gol sendiri.


Jelasnya, pada perlawanan tersebut pemainnya berjaya mendapatkan rentak selepas 10 minit perlawanan bermula untuk mengatasi lawan dan bermain seperti biasa.


“Ketangkasan penjaga gol PKNP juga menafikan beberapa percubaan awal Kedah di separuh masa pertama.


“Pada Jumaat ini, kami berharap pemain dapat lebih fokus dalam usaha melayakkan diri ke separuh akhir,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]