PKS catat pertumbuhan KDNK 7.2 peratus pada 2017

in Bisnes by


PKS telah menyumbang RM435.1 bilion pada tahun 2017, dengan merekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 7.2 peratus (5.2 peratus pada 2016). Hasilnya, sumbangan PKS terhadap KDNK meningkat kepada 37.1 peratus daripada 36.6 peratus pada tahun 2016.


Perkara tersebut diumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking dalam satu sidang media yang diadakan SME Corp Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 3 Ogos lalu.


Kata Darell, pertumbuhan KDNK PKS yang lebih tinggi dicatat dalam semua sektor ekonomi utama, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.


“Melangkah ke hadapan, PKS dijangka memainkan peranan yang lebih besar, bukan hanya sebagai pendorong tetapi sebagai pemacu utama pertumbuhan.


“Dalam tempoh 14 tahun lalu, pertumbuhan KDNK PKS benar secara konsisten telah mengatasi ekonomi keseluruhan dengan purata pada 6.6 peratus setahun berbanding pertumbuhan KDNK keseluruhan sebanyak 5.1 peratus,” katanya.


Tambahnya, dari segi eksport, PKS telah merekodkan pertumbuhan  tinggi sebanyak 7.9 peratus pada 2017 berbanding 7.0 peratus pada  2016, disebabkan eksport komoditi yang tinggi, seperti kelapa sawit dan getah serta produk pembuatan, khususnya elektrik dan elektronik.


“Pada masa sama, eksport oleh syarikat besar mencatat pertumbuhan dua-digit sebanyak 17.9 peratus, dipacu eksport produk elektrik dan elektronik, gas asli cecair dan minyak mentah.


“Hasilnya, sumbangan eksport PKS kepada eksport keseluruhan menurun kepada 17.3 peratus (18.6 peratus pada 2016). Dari segi nilai, eksport PKS mencatat peningkatan RM12.3 bilion, menjadi RM167.4 bilion pada 2017 berbanding RM155.1 bilion pada  2016.


“Pada masa sama, guna tenaga PKS terus meningkat, menghasilkan kenaikan sumbangan guna tenaga PKS kepada guna tenaga keseluruhan meningkat kepada 66 peratus pada tahun 2017 (65.3 peratus pada 2016),” katanya.


Tambahnya, prestasi menggalakkan ini disebabkan pendekatan yang berstruktur dan terselaras dalam pembangunan PKS serta kejayaan dalam melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Induk PKS.


“Menjelang tahun 2020, Pelan tersebut mensasarkan sumbangan PKS kepada KDNK mencecah 41 peratus, eksport negara 23 peratus dan guna tenaga 65 peratus. SME Corp memainkan peranan yang penting dalam pembangunan usahawan dan PKS di Malaysia selaras dengan peranannya sebagai Agensi Penyelaras Pusat untuk PKS. Pada tahun 2017, terdapat 168 program pembangunan PKS yang telah dirancang dengan peruntukan dana sebanyak RM10.4 bilion.


“Dalam konteks agensi penyelaras pusat ini juga, SME Corp  telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sistem maklumat dalam talian yang mengandungi maklumat penerima bantuan yang boleh diakses oleh semua Kementerian dan agensi melalui SME Central Incentives System (SCenIc).


“Sebagai pangkalan data pusat bagi penerima bantuan Kerajaan, SCenIc menjadi rujukan penting untuk buat keputusan, mengelakkan pertindihan dan mengoptimumkan sumber,” katanya.


Tambahnya, PKS boleh mengakses maklumat mengenai insentif dan program pembangunan atas talian dan luar talian melalui SMEhub App, Hab PKS Bergerak, pusat fizikal Hab PKS, Laman Web Rasmi SME Corp Malaysia (https://smecorp.gov.my) dan media sosial, malah boleh mendapatkan Sokongan Khidmat Perniagaan daripada ‘Hab PKS’.Sesebuah perniagaan dianggap sebagai PKS jika ia memenuhi salah satu daripada dua kriteria kelayakan iaitu jualan tahunan atau bilangan pekerja sepenuh masa, yang mana lebih rendah.


Definisi tersebut secara ringkasnya adalah seperti berikut:


– Sektor Pembuatan :  Jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta ATAU bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang.


– Sektor Perkhidmatan & Sektor


Lain: Jualan tahunan tidak melebihi RM20 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak lebih 75 orang.Sumber: http://www.smecorp.gov.my


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]