Salah guna bakat, kreativiti

in Edisi by


MELAKA TENGAH – Gara-gara membuat ubah suai tempat duduk pemandu tanpa kebenaran, seorang mekanik ditahan dalam Op Samseng Jalanan Khas di ‘litar’ Autocity di Gangsa, Alor Gajah, Ahad lalu.


Lelaki berusia 20-an itu didapati mengubah usai tempat duduk pemandu pada kereta Honda Accord miliknya ke bahagian kiri seperti kenderaan di luar negara.


Dia antara 79 pemilik kereta pelbagai jenis yang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai bahagian enjin dengan meletakkan kon plastik dipercayai untuk memasukkan angin selain menukar ekzos di bahagian tengah bagi mendapatkan bunyi enjin lebih kuat.


Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kebanyakan individu ditahan menyalah guna bakat dan kreativiti sehingga menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Kereta milik seorang mekanik yang membuat ubah suai tempat duduk pemandu di bahagian kiri.


“Dalam operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) itu dua buah kenderaan mempunyai nombor casis berbeza dengan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan turut dikesan selain kita tahan tiga lelaki beralamat di Johor kerana sedang berlumba.


“Ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20 dan 35 tahun itu masih ditahan reman sehingga esok (hari ini) untuk disiasat mengikut Seksyen 81 (2) dan Seksyen (3) APJ 1987,” katanya.


Menurutnya, sebanyak 34 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain 191 individu turut diperiksa dalam operasi yang bermula jam 1 hingga 5 pagi itu.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]