Serius tangani infrastruktur telekomunikasi

in Edisi by


IPOH – Kerajaan Perak sepertimana negeri-negeri lain mengambil serius dalam menangani isu infrastruktur telekomunikasi di kawasan bandar dan luar bandar.


Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, agenda perluasan liputan jalur lebar akan diteruskan dan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri.


Katanya, usaha itu akan dapat memberikan kemudahan kepada rakyat dan pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negeri.


“Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa berusaha bagi memastikan peningkatan jalur lebar melalui pelbagai projek yang dijalankan.


“Proses menaik taraf telekomunikasi adalah proses berterusan dari semasa ke semasa. Buat masa ini, pihak SKMM dengan kerjasama pihak Telcos sedang dalam proses memperluaskan liputan 3G di kawasan yang masih mempunyai liputan 2G sahaja,” katanya.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Datuk Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) pada sesi soalan lisan, hari ini.


Hasnul Zulkarnain berkata, bagi perkhidmatan 4G pula, pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk bentuk muka bumi di sesuatu kawasan bagi memastikan penduduk mendapat liputan tersebut.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, SKMM telah membina 11 menara telekomunikasi di kawasan Dun Pengkalan Hulu bagi memastikan penduduk menerima perkhidmatan 2G dan 3G sama seperti di bandar.


Menurutnya, satu menara telekomunikasi juga sedang dalam pelaksanaan dan dijangka akan siap beroperasi pada suku keempat 2018.


“Selain itu, pihak SKMM juga dalam perancangan untuk membina 11 lagi menara telekomunikasi di Daerah Hulu Perak. Lokasi menara telekomunikasi ini telah pun dikenalpasti berdasarkan kajian teknikal yang dijalankan.


“Menara-menara ini dijangka akan siap beroperasi sepenuhnya pada suku keempat 2019,” katanya.




 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]