Suku Akhir Piala Presiden: Kedah bangkit hujung perlawanan

in Sukan by


DUA gol pada penghujung perlawanan suku akhir pertama Piala Presiden 2018 menyelamatkan Kedah dari berputih mata apabila mengatasi PKNP FC 1-2 di Ipoh, petang semalam.


Jaringan Hasri Firzan pada minit ke-85 dan Mohamad Fayadh minit ke-89 memadamkan kelebihan yang dimiliki pasukan tuan rumah selepas menjaringkan gol pada separuh masa pertama menerusi Alif Safwan pada minit ke-11.


Menurut Pemangku Pengurus Piala Presiden Kedah, Amirul Nidzam Mahadzir, bekalan satu gol yang dibawa pulang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin pada aksi timbal balik kedua di Stadium Darul Aman pada Jumaat ini.


“Alhamdulillah pujian harus diberi kepada semua pemain dan termasuk pertukaran pemain yang masuk dapat mengikut arahan diberikan oleh Ketua Jurulatih, Victor Andrag. Cuma kelalaian pada awal minit memberikan gol kepada pihak lawan perlu diperbaiki untuk perlawanan timbal balik kedua nanti,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.


Amirul Nizam berkata, Kedah telah memberikan bola mudah kepada pihak lawan, dan membenarkan PKNP FC mendapat beberapa ‘set piece’ seperti sepakan percuma dan lontaran jauh di depan pintu gol sendiri.


Jelasnya, pada perlawanan tersebut pemain-pemainnya berjaya mendapatkan rentak selepas 10 minit perlawanan bermula untuk mengatasi lawan untuk bermain sepert biasa.


“Ketangkasan penjaga gol PKNP FC juga berjaya menafikan beberapa percubaan awal  pasukan Kedah di separuh masa pertama.


“Pada Jumaat ini, kami berharap pemain dapat lebih fokus dalam usaha untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]